#TurkiAndalus: Menjejak Sejarah Istanbul

Hagia Sophia


Alhamdulillah, dikejutkan lagi dengan alunan azan subuh yang merdu. Usai sarapan, dalam pukul 8:15 pagi kami terus bergerak ke Aya Sofya. Untuk ke Aya Sofya, paling senang adalah dengan menaiki tram. Stesen tram kira-kira 600 meter dari apartment kami.

Kami turun di Stesen Sultanahmet. Di sini memang banyak papan tanda Ayasofya, Sultanamet dan beberapa tempat tarikan menarik di Istanbul. Kami bercadang untuk masuk ke dalam Ayasofya dulu. Harga tiket masuk 72L, kami beli di kaunter. Disebabkan kami sampai awal, dalam pukul 8:45 pagi Alhamdulillah, kami antara yang terawal masuk dalam. Kami berjalan dalam Ayasofya lebih kurang sejam suku, MashaAllah meremang bulu roma. Melihat setiap penjuru masjid, teringat-ingat sejarah Islam di muka bumi Istanbul ini.


Blue Mosque (Masjid Sultan Ahmet)

Kemudian, kami berjalan pula ke Masjid Sultanahmet. Masuk adalah percuma. Mesti berpakaian sopan. Masjid ini juga merupakan antara tempat tumpuan pelancong. Kami juga mesti beratur. 

Tips: masuk saja di Prayer Entrance. Kami punya beratur dekat Visitor Entrance, alih-alih tengok orang lain masuk dekat Prayer Entrance rilek je tembus phew! Tapi beratur pun tak lama, laju saja masuk.


Topkapi Palace

MashaAllah, cantik sangat istana ni. Memang tak puas berjalan seluruh istana. Kucing banyak sangat, memang menarik perhatian semua orang. Saat masuk saja ke dalam Istana Topkapi, terus terngiang-ngiang lagu Fatih. Serasa lain macam. Sambil berjalan, sambil melihat arkitektur yang sangat indah. 

Dalam Istana Topkapi ini ada beberapa bahagian muzium: lukisan para sultan, alatan perang kerajaan Turki Uthmaniyyah, pameran tentang nabi kita — Nabi Muhammad SAW dan banyak lagi!

Sewaktu kami melihat pedang-pedang, tombak, baju besi tentera Turki Uthmaniyyah dahulu, rasanya lain macam! Meremang bulu roma! Sewaktu masuk ke tempat pameran ini, terus teringat filem Sultan al-Fatih, hampir saja menitiskan air mata. Selama ini pergi trip universiti, tengok tokong, tengok tentang kegemilangan kerajaan Cina, rasanya tidak sama melihat pameran mengenai kegemilangan kerajaan Islam kita sendiri. Lihat saja pedang para sultan, baju besi, barang-barang sultan terus saja memberikan satu perasaan luar biasa!

Terlalu ramai pengunjung terpesona dengan sejarah Nabi Muhammad SAW, sejarah kerajaan Islam kita. Tatkala kami melihat replika tapak kaki Nabi Muhammad SAW, serban Baginda dan beberapa lagi barang lain yang dipamerkan menarik minat para pelancong terutama non-muslim. Mereka membaca bersungguh-sungguh sehingga menyebabkan barisan menjadi semakin panjang dan mengambil masa beratur yang lama. Sehinggakan para pengawal menjerit-jerit minta dipercepatkan gerakan dalam barisan.

MashaAllah, saya teringat satu ayat dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 119:

"Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran; sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, dan kamu tidak akan diminta (pertanggungan jawab) tentang penghuni-penghuni neraka." (2:119) 


Tugas kita juga menyampaikan, dengan cara yang berhikmah. Melihat muka-muka yang bersungguh-sungguh membaca informasi, ada juga yang bertanya kepada pengawal yang menjaga di situ turut menyentuh hati saya.


Saya suka sekali pabila kami ke Blue Mosque, terdapat banyak poster besar yang menerangkan tentang maksud agama Islam, rukun iman, rukun Islam, hijab, sumbangan Islam terhadap dunia dan sebagainya. 

Poster-poster ini menarik tumpuan ramai pelancong untuk membaca tentang perkara yang berkaitan tentang Islam. Tentulah, Islam ialah kehidupan kita, apa saja yang kita lakukan ini pasti berbalik kepada asasnya. Ketika di dalam Blue Mosque juga, terdapat ruangan Free Literature, yang menyediakan pelbagai bahan bacaan dalam berbagai-bagai bahasa. 

MashaAllah! Usaha seperti ini juga mendapat sambutan daripada pelancong. Usaha-usaha seperti ini sememangnya merupakan satu usaha yang sangat bagus. Ia bukan saja menarik tumpuan pelancong non-muslim, malah kita juga tertarik dengan pendekatan seperti ini. 


Grand Bazaar

Turun saja di Grand Bazar, kami makan dahulu di kedai kebab yang berdekatan. Naik tram di stesen Sultanahmet, kemudian turun di stesen Beyazit. 

Lapar dia lain macam! Usai makan tengah hari, kami pergi solat dahulu di Masjid Beyazit. Usai solat, kami pun berjalan di Grand Bazar. Di belakang Masjid Beyazit merupakan Universiti Istanbul. Ketika saya dan Dayana pergi ke WC (tandas) untuk mengambil wudhu', kami dipertemukan dengan kawasan kedai buku!  Usai solat, kami ke Grand Bazar dan melihat kawasan kedai-kedai buku tersebut! 

Tangkapan di Grand Bazar ialah baju-baju I Love Istanbul, teh Turki dan Turkish Delight! Dapat juga kami beli dengan harga murah, murah berbanding kedai-kedai yang kami tengok satu Grand Bazar tu! 

Usai berjalan di Grand Bazar, kami pun pulang ke Fatih.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Cara Mati Setem di LHDN UTC

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online