Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) Online?

 PBS Online?


Selepas berhempas-pulas belajar dan menghadam segala teori, maka bermulalah episod untuk mendekati dan memahami keadaan, budaya dan warga sekolah. Namun, dek pandemik Covid-19 ini, maka sekolah terpaksa ditutup dan saya serta rakan-rakan perlu menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) selama dua minggu secara atas talian. 

Jadi, syarat utama untuk PBS kami adalah sekolah kebangsaan yang mempunyai opsyen Bahasa Cina. Setelah menghubungi beberapa buah sekolah di Kuantan, rezeki tidak berpihak kepada kami untuk ke sekolah yang mempunyai opsyen Bahasa Cina. Akhirnya, Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama (SKIMU) menjadi tempat saya dan rakan partner untuk menjalani PBS di situ, dengan syarat kami perlu berada dalam kelas bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab.

Hari pertama kami disambut dengan penuh ramah oleh GPK Pentadbiran, Pn Fatma. Minggu pertama kami cuba menyelesaikan portfolio dan berbincang dengan guru pembimbing untuk aktiviti minggu kedua sama ada masuk ke Google Meet atau melaksanakan projek lain bersama guru pembimbing. 

Awalnya kami juga agak blur kerana inilah pengalaman pertama kali kami ber-PBS, pertama kali bertemu dan berhubung dengan warga sekolah. Jujur, memang agak gugup dan gementar tetapi kerana keramahan dan sikap para guru serta pembantu tadbir sekolah yang sentiasa sabar melayan karenah dan soalan daripada kami. 

Bagi saya, ini merupakan antara perkara yang benar-benar memberi kesan sepanjang PBS ini. Benarlah, tidak rugi kita menghulurkan bantuan, memberi semangat dan kerjasama kepada orang baru. Pastinya hubungan yang murni akan terbentuk dan sekali gus dapat sama-sama bekerja dengan terbinanya komunikasi yang bagus. Pesan ibu saya yang juga merupakan seorang guru sekolah rendah, "Kerja kita membantu guru-guru baru untuk mereka mendapat pengalaman."

Saya mendapat bimbingan oleh Ustazah Muna dalam subjek Bahasa Arab, manakala rakan saya mendapat bimbingan dalam subjek Bahasa Inggeris. Saya sejujurnya sangat terkejut ketika menyertai kelas atas talian (Google Meet), kehadiran murid sangat memberangsangkan, murid juga terlibat aktif dalam kelas dan guru juga dapat mengawal kelas dengan baik. Wah, ini benar-benar terpesong jauh daripada jangkaan saya. Saya jangkakan guru akan menghadapi masalah yang sangat besar dalam mengawal murid, ramai murid tidak akan hadir ke kelas dan banyak lagi masalah lain. Namun, saya salah. Satu perkara yang saya belajar melalui pemerhatian saya adalah kemahiran guru dalam pengurusan kelas sangat penting. Jika guru menetapkan peraturan dan bertegas, kelas dapat dikawal dengan baik dan lancar, terutamanya secara atas talian.

Sebagai kesimpulan, saya tidak menghadapi masalah sepanjang PBS ini. Yang menjadi cabaran adalah segala laporan portfolio perlu ditulis dalam bahasa Cina kerana opsyen kami adalah Bahasa Cina. Selain daripada itu, banyak perkara yang saya kagumi dan menjadi satu nilai tambah kepada saya. Pengalaman pertama ini juga memberi jangkaan yang positif kepada saya untuk menghadapi Praktikum kelak. 

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Cara Mati Setem di LHDN UTC

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online