Saya Guru Bukan Opsyen Bahasa Inggeris
Assalamualaikum WBT.
Phew, dah lama tak menulis tapi hari ini terasa nak menulis dan berkongsi rasa tentang pengalaman saya mengajar Bahasa Inggeris sebagai seorang guru non-opsyen. Saya ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris bermula Julai 2023, jadi kurang lebih dua tahun saya mengajar Bahasa Inggeris Tingkatan 1 dan 2.
Mengapa saya mengajar Bahasa Inggeris sedangkan saya bukan opsyen Bahasa Inggeris?
Tempat untuk guru-guru Bahasa Inggeris ada di sekolah-sekolah cuma isunya apabila kekurangan guru. Jadi, apabila saya posting ke sekolah yang saya mengajar sekarang, ada kekurangan guru Bahasa Inggeris. Jadi, saya menyahut cabaran untuk mengajar subjek yang saya kira, sudah seperti bahasa ketiga saya. Manakan tidak, saya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Cina, jadi Bahasa Inggeris tidaklah digunakan selalu dalam perbualan harian.
Apakah jangkaan pertama kali perlu mengajar subjek Bahasa Inggeris?
Saya akui, Bahasa Inggeris bukanlah satu subjek yang kita boleh terus mengajar jika kita tiada prior knowledge, terutamanya mengajar pelajar menengah. Kenapa saya katakan begitu? Bayangkanlah, bertahun-tahun tidak bercakap dan belajar Bahasa Inggeris, tiba-tiba posting pertama guru, perlu mengajar Bahasa Inggeris.
Betapa kekoknya saya berdiri di hadapan, dan perlu memperkenalkan diri dalam Bahasa Inggeris, serta memberi arahan pertama kepada pelajar pun cukup meresahkan jiwa saya pada hari itu. Cukup mendebarkan dan memberi satu persepsi buruk terhadap pemikiran sendiri. Perasaan itu hadir tanpa diundang dan tanpa saya sangka.
Pada ketika itulah saya tahu, saya sangat memerlukan sokongan dan bantuan. Saya sangat memerlukan tunjuk ajar. Tahun pertama posting cukup memenatkan kerana apabila perlu mengajar subjek bukan opsyen, ada banyak kerja buat yang perlu kita laksanakan. Malam-malam, hampir setiap malam, saya akan study dulu di YouTube, melihat contents yang bersesuaian untuk mengajar keesokan harinya. Hari-hari, hampir setiap malam, itulah rutin saya.
Jika hari tersebut saya ingin mengajar grammar, maka pulunlah saya mencari video penerangan yang memudahkan saya untuk deliver kepada anak murid, mencari lembaran kerja, mencari dan cuba merangka nota dan penyampaian ilmu dengan cara yang paling dekat dengan pelajar.
Ya, benar-benar penat kerana kita tidak pun dihantar ke bengkel-bengkel, kursus ataupun paling-paling, kita sendiri perlu bertanya kepada guru seniors amalan mereka di dalam kelas. Tambahan pula, bukan setakat mendidik tetapi perlu juga untuk belajar dan faham cara pentaksiran dalam subjek Bahasa Inggeris ini -- cara penandaan, level pelajar, gaya belajar terbaik mengikut tahap dan beberapa perkara lagi yang perlu kita fikirkan untuk kemenjadian pelajar kita.
Terima kasih, emak!
Emak merupakan seorang guru Bahasa Melayu di sekolah rendah. Pada tahun pertama posting, dalam seminggu, dua tiga kali juga saya menelefon bertanyakan tips, cara, serta nasihat untuk mengajar. Emak yang sekarang sudah menuju fasa pencen, memberikan segalanya kepada saya -- satu-satu saya cuba kaut, telan dan faham. Perlahan-lahan saya cuba menyerap masuk segala nasihat dan doa emak.
Ada satu nasihat emak yang saya pegang, "Kakak, bahasa memang mencabar. Kita ini cikgu, menyampaikan ilmu kepada pelajar, hanya Allah yang mengizinkan untuk pelajar terima dan hasilnya; pandai atau tidak bukan urusan kita. Yang perlu kita faham betul-betul, kita kena buat pelajar suka masuk kelas dengan kita. Dia suka kelas kita, dia suka belajar dengan kita, barulah lama-lama dia akan suka dengan subjek yang dia tengah belajar. Jadi, cari cara untuk pelajar minat dan suka dengan kita dulu." Phew.
Mujur juga sekarang dunia semakin laju dan canggih, ChatGPT, Gemini dan beberapa laman web AI lain sangat membantu dalam perjalanan PdPC kita bersama pelajar. Cuma saya tidak nafikan, memang memerlukan masa dan ketekunan untuk kita explore dan mencuba AI tools ini untuk membantu kita.
Sehingga kini, saya masih merasakan sukar untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris ini, kerana untuk saya build up a scheme of the prior knowledge, untuk deliver kepada pelajar, memang memerlukan usaha keras. Satu perkara yang kita perlu akui, perjalanan pelajar dalam mempelajari Bahasa Inggeris ini memang sukar; jadi kita sebagai guru cuba untuk melorongkan jalan kepada mereka.
Jadi, dalam dua tahun ini saya cuba berlapang dada dan mencuba pelbagai cara berbeza untuk pelajar kita. Hanya kita yang kenal pelajar kita, jadi kita cuba mempelbagaikan cara dan kaedah mengajar. Perlahan-lahan, pelajar pun turut suka dan mencambahkan ilmu di dada.
Inshallah, sesiapa yang menuntut ilmu, Allah akan lorongkan jalan ke syurga. Semoga kita akan terus terinspirasi dan menginspirasi manusia di sekeliling kita.

Comments
Post a Comment
Ya, saya?