Cara Nak Jadi Cikgu!



Saya nak jadi cikgu tapi macam mana nak jadi cikgu sekolah rendah atau cikgu sekolah menengah? 

Assalamualaikum WBT. Yeah, pertama kali saya ucapkan tahniah kerana adik-adik sudah ada matlamat dan cita-cita yang diinginkan. Sekarang, kita cuba faham bagaimana cara untuk melorongkan usaha kita menuju kejayaan.


GURU SEKOLAH RENDAH

Di Malaysia, kita ada beberapa pilihan dan jalan untuk mengejar cita-cita sebagai seorang guru. Jika kita mahu menjadi guru di sekolah rendah, ada dua cara. 

IPG

Pertama, menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Contoh hebahan adalah seperti gambar di bawah:


Bagaimana nak masuk IPG? 

Halatuju selepas SPM seperti berikut:

SPM -- IPG -- Temuduga SPP -- Pendidik

Jadi, usai SPM, adik-adik boleh memohon pada pautan yang akan diberikan. Proses pemilihan untuk kemasukan ke IPG juga semakin sengit; perlu melepasi Ujian INSAK Calon Guru, dipanggil untuk temuduga dan perlu menunggu keputusan temuduga; layak atau pun tidak layak. Kemudian, adik-adik akan belajar di IPG selama 5 tahun, dipanggil untuk temuduga SPP dan menunggu panggilan untuk menjadi pendidik. Kesemua lepasan IPG akan mengajar di Sekolah Kebangsaan. 


Jika saya bukan graduan IPG, apakah caranya?

Mengikut pengalaman saya, pada akhirnya ia di atas rezeki masing-masing. Sebagai contoh, saya merupakan graduan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP), merupakan satu program di bawah IPG. Opsyen saya ialah Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, namun setelah menghadapi Temuduga SPP, saya telah dipilih untuk mengajar di Sekolah Menengah dan kini saya mengajar subjek bukan opsyen iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Moral dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. 

Ada juga beberapa seniors saya yang asalnya graduan pendidikan dari universiti awam yang sepatutnya mengajar di Sekolah Menengah tetapi rezeki mereka mengajar di Sekolah Kebangsaan.  


GURU SEKOLAH MENENGAH

Jika anda ingin menjadi seorang guru yang mengajar pelajar remaja, halatuju selepas SPM adalah seperti berikut:

1. SPM -- STPM/Asasi/Matrikulasi -- Ijazah Sarjana Muda Pendidikan -- Temuduga SPP -- Pendidik

2. SPM -- STPM/Asasi/Matrikulasi -- Ijazah Sarjana Muda -- DPLI -- Temuduga SPP -- Pendidik

Jadi, jelas kita nampak bahawa senang cerita, nak jadi guru sekolah menengah, tidak perlu memohon IPG. 


DPLI

Sekiranya anda bukan graduan lepasan IPG, mahupun bukan graduan pendidikan tetapi teringin menjadi seorang pendidik, anda boleh memohon program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Berikut contoh poster program DPLI yang ditawarkan di beberapa universiti awam mahupun swasta. 


Kursus DPLI dijalankan dalam jangka masa setahun atau setahun setengah. Kemudian, usai DPLI, adik-adik boleh memohon di laman web SPP untuk jawatan Pegawai Pendidikan Gred DG41, menunggu panggilan temuduga SPP dan akhirnya menunggu keputusan penempatan. 

Jadi, beginilah serba sedikit info untuk adik-adik yang ingin menjadi seorang pendidik anak bangsa. InshaAllah, semoga Allah perkenankan usaha dan doa-doa kita. Yakinlah bahawa Allah sentiasa mendengar doa-doa kita, melihat usaha-usaha kita serta sentiasa menunjukkan kepada kita jalan-Nya. Semoga Allah permudahkan urusan kita. 

Selamat maju jaya!

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Cara Mati Setem di LHDN UTC

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online