Satu Hari Berjalan di Perlis


Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah alhamdulillah, terasa laju saja tangan nak menaip pengalaman saya ke negeri Perlis Indera Kayangan untuk kali pertama ini. Perjalanan saya ke negeri Perlis ini sangatlah tidak dirancang dan sangatlah wow! Memang sesuailah bagi siapa-siapa yang mahu ke Perlis dalam masa sehari, tak kalut tapi agak laju hewhew.

KAMPUNG IBU, AYER HITAM, KEDAH

Let's go!

Kolam ikan air masin

Pukul 9 pagi, saya bersama ibu dan abah keluar ke destinasi pertama iaitu kolam ikan abah di kampung ibu di Ayer Hitam. Mashaallah, punya terkejut saya, besar benor kolamnya. Ada dua kolam ikan abah, dua-dua penuh ikan. Teruja weh! Ibu & abah bagi makan ikan dulu sebelum kami bergerak ke Perlis. Saya pun ikut sekali dekat belakang, seperti rusa masuk kampung. Terkedek-kedek saya dekat belakang merasai sendiri pengalaman yang seronok ni!

DATARAN EMPANGAN TIMAH TASOH


Usai bagi ikan makan, kami pun bergerak ke destinasi pertama di Perlis iaitu Dataran Empangan Timah Tasoh. Lebih kurang pukul 10:42 pagi kami tiba. Matahari terik. Panas juga tapi Mashaallah pemadangannya indah nian! Sampai saja di sini, dalam kepala saya terus terbayang satu tasik di Interlaken, Tasik Brienz. Cantik sangat-sangat! Luas mata memandang, awan putih berkepul-kepul di atas kepala, ada satu dua bot nelayan yang sedang memancing, ada juga serombongan pelancong yang datang menaiki bot di situ. Cantik sangat, ya Allah, dah sampai Perlis, datang sini tau! Wajib! Cantik amat.

PADANG BESAR


Kami tak boleh lama-lama sangat di satu-satu tempat, abah takut saya tak sempat nak pergi tempat-tempat lain. Kemudian, kami ke Padang Besar. Wah, akhirnya saya tiba juga di tempat yang kebanyakan orang sebut-sebutkan. Banyak barangan yang dijual, saya pula memang cashless, tak ada niat nak membeli melainkan sekadar berjalan-jalan. Dekat situ boleh tahan berbaloi harganya, memang ibu dengan abah nego sampai jadi! Di situ ada dua tempat bangunan, berdekatan saja, kami jalan-jalan mencuci mata, laju juga berjalannya, nak kejar masa punya pasal.


Kemudian, kami singgah makan di sebuah kedai makan, lupa pula nama kedainya, Kedai Kak Mok rasanya, aih, lupa pula saya. Sedak dooh! Lapar weh jalan-jalan tengah panas, haa memang tepat timing nak makan tengah hari tu.

TAMAN AGROVET

Usai makan tengah hari, kami pun beransur ke Taman Agrovet. Ada burung unta, rusa, alahai teringat rusa di Nara dan haiwan-haiwan lain. Saya tak masuk ke dalam pun, berhenti di situ untuk ambil gambar. Kemudian, terus gerak ke destinasi seterusnya iaitu Wang Kelian.

WANG KELIAN



Jalan nak ke Wang Kelian ni uih macam ular, selekoh sana sini. Sampai saja di atas, kereta pun dah park, kena berjalan sikit untuk naik ke atas bukit. Tak tinggi tapi disebabkan waktu menunjukkan pukul 12:00 tengah hari, rasa matahari atas kepala. Letak telur, boleh jadi telur mata kerbau dah. Pemandangan dari atas bukit ini sangat cantik! Mashaallah, memang cantik sangat, gunung menghijau, awan nan putih, langin nan biru, menenangkan. 

GUA KELAM


Selesai bergambar, kami pun menuju ke destinasi seterusnya iaitu Gua Kelam. Wah, makin rasa teruja, sampai juga saya di Gua Kelam. Sampai saja di kawasan tersebut, rasa sejuk saja, redup, pokok tinggi-tinggi, bunyi sungai yang mengalir sangat menenangkan. Ada beberapa buah keluarga sedang mandi-manda di sungai tersebut. 

TAMAN ULAR

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan hari ini ke Taman Ular, namun Taman Ular dalam waktu rehat sehingga pukul 2:45 petang. Jadi, tanpa membuang masa untuk menunggu, kami pun ke rumah kakak kepada abah yang terletak tidak jauh dari tempat pelancongan tersebut. Sedang sedap makan rambutan di rumah mak cik, boleh pula bibir saya tiba-tiba saja bengkak! Aih tak pernah-pernah bibir tiba-tiba alergik makan rambutan, boleh pula dia nak bengkak. Phew, sabar.

KAK SU LAKSA


Kemudian, abah membawa kami ke Kak Su Laksa, sebuah kedai makan yang popular di Perlis ini. Pengalaman yang paling unik adalah makan laksa bersama pulut udang! Ha, sarapan pagi tadi abah beli pulut udang. Saya fikirkan ada udang di dalam pulut tersebut, rupanya pulut udang itu ialah pulut panggang. Baru saya tahu. Fuh, awalnya saya teragak-agak, apa benar pulut udang bersama-sama laksa benar-benar boleh masuk ke dalam tekak saya? Wah, ini baru benar-benar "belum cuba belum tahu, dah cuba baru tahu", haaa pulut udang dekat kedai ini sedap weh! Memang sedap!

KUALA PERLIS



Siap makan, kami pun ke Kuala Perlis. Di situ ada terminal feri, masjid terapung dan deretan kedai. Baru saya tahu bahawa untuk ke Langkawi, boleh menaiki feri di Kuala Perlis atau Kuala Kedah. Kata ibu, menaiki feri di Kuala Kedah agak jauh berbanding dari Kuala Perlis. Teruja saya pertama kali melihat feri membawa pelancong, kereta, lori dan melihat mereka keluar dari feri. 

Perjalanan pulang ke Kedah, abah membawa saya melalui jalan laut. Sepanjang perjalanan, terdapat banyak gerai dibuka dan ramai juga orang yang duduk santai, makan-makan petang di persisiran pantai. Disebabkan kami tidak boleh berlama di situ, sekadar syarat mengambil gambar saja di situ. Hari pula semakin mendung dan gelap, hujan turun sekejap renyai, sekejap lebat. 



Sampai di rumah, hujan rintik-rintik. Saya terus menyiapkan diri dan bersiap sedia untuk ke Stesen Bas Tanah Merah, Jitra. Berat rasanya hati ini untuk pulang ke Kuantan, terasa begitu pantas masa berjalan. Masa benar-benar mencemburui saya, maka perlahan-lahan juga saya berdamai dengan masa. 7:11 malam, bas Maraliner pun tiba di stesen bas tersebut, lagi sayu rasanya. Saya juga tidak dapat menahan air mata. Ibu membekalkan saya dengan air minuman, makanan untuk saya. Lambaian perpisahan itu benar-benar menghentak sebentar jiwa saya, dengan harapan kelak kita dapat berjumpa lagi, ibu abah! Inshaallah.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Cara Mati Setem di LHDN UTC

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online