Menjejaki Kasih Ibu & Abah di Kedah



Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, masih lagi berpeluang untuk hidup dan mencari-cari makna hidup untuk sentiasa berbalik semula kepada-Nya! Alhamdulillah thummalhamdulillah! Tanpa saya sangka, pada umur saya 25 tahun ini, akhirnya saya dapat menjejaki kasih ibu & abah saya di Kedah.

25 tahun sudah saya bernafas, ada saat-saat saya akan tiba-tiba saja teringatkan detik yang lalu. Antaranya ialah kenangan bermain rounders, basikal, tembak-tembak dengan anak-anak tentera yang lain di TUDM Subang dulu. Selain itu, kenangan bersama rakan-rakan yang antara nama yang terpahat dalam ingatan saya; Omar, Kamarul, Azizah di SK Bukit Jelutong. Kemudian, 2005 saya berpindah ke Kuantan dan semakin lama saya seolah-olah tidak dapat mengorek kembali akan detik-detik zaman kanak-kanak saya di TUDM Subang. Hanya yang benar-benar saya ingat saja yang betul-betul terpahat dalam ingatan.

Sepanjang beberapa tahun ini jugalah saya selalu dibayangi kenangan detik perpisahan bersama pengasuh yang saya panggil Ibu. Saya tidak ada ingatan lain yang mengingatkan saya kepada ibu kecuali saat ibu memeluk saya dan mencium saya sebelum ibu dan keluarga berpindah ke Kedah. Air mata hangat yang terkena pipi saya itu saya ingat sehinggalah sekarang, cuma saya tidak ingat wajah Ibu. Disebabkan gambaran memori itu semakin lama semakin kerap datang, sedari dulu lagi saya menyimpan hasrat untuk bertemu Ibu, mengharapkan saya dapat meluangkan masa bersama ibu dengan lebih lama lagi.

Teringat pula kisah di Beijing, saja saya bergurau-gurau dengan rakan-rakan, "Aku rasa nak kahwin dengan orang Kedah, duduk rumah tepi bendang, cantik!" Setelah sekian lama saya di Kuantan, pemandangan biasa di tepi-tepi jalan raya selain pokok sawit, ada juga pokok-pokok kanopi yang tumbuh tinggi. Melihat sawah padi merupakan satu nikmat yang sangatlah istimewa, setiap kali menghantar adik ke Machang, akan nampak juga bendang di tepi-tepi jalan tetapi melihat bendang di Kedah terus membuatkan saya terus jatuh hati! Benarlah bak kata peparah, jauh perjalanan luas pengalaman. 

Ibu & Abah Menjumpai Saya di FB

Setelah hampir 20 tahun putus hubungan, pengasuh yang saya panggil ibu dan abah itu telah menjumpai Facebook saya pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, saya tidak mampu untuk mengingat kembali walau satu kenangan saya bersama mereka. Penuh pengharapan mereka menghubungi saya di Messenger. 

Usai temuduga SPP pada 7 Jun 2022 di Putrajaya, saya, emak, abah dan si bongsu terus bergerak ke Alor Setar untuk menghantar saya kursus di sana. Alang-alang saya pun kursus ke sana, bolehlah kami berjalan-jalan di sana. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke negeri Kedah! Wah, akhirnya sampai juga saya ke negeri Kedah.

Setelah 20 tahun tidak berjumpa

Keesokkannya pada waktu pagi kami ke Muzium Padi. Saya sangatlah teruja kiri kanan depan belakang, semuanya bendang yang menghijau! Tak puas mata memandang. Kemudian, emak terus mengajak untuk ke rumah ibu di Kg. Padang Gelam. Hati saya makin lama makin berdebar, serba salah dibuatnya kerana saya tidak ada apa-apa kenangan untuk diimbau melainkan detik perpisahan itu saja.

Sampai saja di rumah ibu, terkedu saya. Suara ibu seolah sangat biasa kedengaran, menitik air mata ibu dan emak, sudah lama tidak berjumpa. Mulut saya seolah terkunci, segan rasanya. Nah, ibu dan abah menghidangkan makan tengah hari yang berlaukkan makanan kampung yang sangat sedap! Ikan talapia seekor seorang, mana nak dapat di Kuantan makan seekor seorang, fuh, alhamdulillah!

Lama kami di rumah ibu, otak saya pun laju cuba memikirkan sekurang-kurangnya ada lah juga perkara yang boleh saya imbas kembali. Ibu menunjukkan beberapa keping gambar zaman kecil dulu tapi masih tak mampu saya ingat. 

See you when I see you, Ibu


Selepas Asar, kami pun perlahan-lahan beransur ke Alor Setar untuk menghantar saya ke tempat kursus. Sepanjang perjalanan itu juga ligat otak saya berjalan ke masa lalu. Dua minggu saya berkursus dan praktikal, sehari ke sehari datang kenangan-kenangan dulu -- akhirnya ada perkara yang saya ingat sehinggakan saya termimpi-mimpi pada ibu. 

Hari terakhir saya dan rakan-rakan praktikal, saya mengambil keputusan untuk bermalam di rumah ibu sebelum bergerak ke Kuantan. Petang Khamis itu, lebih kurang pukul 5:30 petang saya sampai di rumah ibu abah. Betapa cuaknya saya kerana saya ini sudahlah tidak ada keberanian sangat, entah apa yang saya boleh nak borakkan dengan mereka. 




Ibu & abah menyambut saya dengan pintu yang terbuka menunggu kehadiran saya, terus dihidangkan dengan air teh & keropok. Sesak juga dada saya menahan daripada jantung saya melompat keluar dari badan. Dah namanya seorang ibu, pandailah ibu dan abah memulakan perbualan bersama saya. Akhirnya, segala persoalan dan beberapa cebis perkara yang saya terfikir-fikirkan sebelum ini, ternyata itulah antara cebisan kenangan saya bersama ibu.

Petang itu, ibu mengajak saya menaiki motor bersamanya ronda-ronda kampung. Syok weh! Dah lama saya tidak membonceng motor, melihat kawasan kampung, lagi-lagi menaiki motor di tengah-tengah bendang! Ini memang benar-benar pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila. Seronok dia tu memang kalau boleh nak pusing kampung sampai kebas punggung. Lagi syok bila dapat tengok kereta api lalu, ETS yang laju tu berdesup laju depan mata, wuhuuu seronok! 

Esoknya ibu abah membawa saya pusing-pusing di Perlis! Wah, ini lagilah, satu pengalaman yang sangat ohsem! Wohoooo!

Next: Trip Ribut dengan Ibu Abah di Perlis.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Cara Mati Setem di LHDN UTC

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online