Empat Hari Menyusuri Bumi Kenyalang


Ada perjalanan yang dirancang untuk bercuti.

Ada perjalanan yang akhirnya menjadi ruang untuk kita kembali mengenali diri sendiri.

Empat hari di bumi Kenyalang bukan sekadar tentang menanda lokasi dalam peta atau memenuhi senarai tempat yang ingin dikunjungi. 

Ia adalah tentang memperlahankan langkah, membuka mata kepada keindahan yang sering terlepas pandang dan membiarkan setiap detik menjadi sebuah memori yang akan dikenang lama selepas pesawat berlepas pulang.

Hari Pertama — Menyelami Kisah yang Membentuk Sebuah Negeri



Sebaik tiba, langkah pertama kami membawa saya ke Muzium Budaya Borneo. Di sebalik seni bina bangunannya yang moden, tersimpan ribuan cerita tentang masyarakat, warisan dan sejarah yang membentuk identiti negeri ini. Setiap galeri terasa seperti helaian demi helaian sebuah buku yang mengajak pengunjung memahami kehidupan masyarakat dari dahulu hingga hari ini.

Oh ya, menariknya kali ini, saya berkelana bersama kakak-kakak yang sudah melayari zaman pencen 😆 ini kalilah saya merasa berkelana dengan langkah tenang. 



Selepas mendaftar masuk di Metrocity, Matang, kami menghabiskan petang di Waterfront. Matahari perlahan-lahan mula menuruni ufuk, angin sungai menyapa lembut dan deretan bangunan di seberang sungai mula disimbahi cahaya keemasan. Tiada jadual yang perlu dikejar. Hanya langkah yang perlahan, kamera di tangan dan hati yang benar-benar hadir menikmati suasana.

Kadangkala, kebahagiaan itu sesederhana berjalan tanpa tujuan.

Hari Kedua — Menyaksikan Warisan Terus Hidup



Hari kedua membawa kami ke Kampung Budaya. Tempat ini bukan sekadar lokasi pelancongan, tetapi sebuah pengalaman yang menghidupkan sejarah. Rumah-rumah tradisional berdiri megah, persembahan kebudayaan dipersembahkan dengan penuh semangat dan setiap sudut seolah-olah mengingatkan bahawa warisan hanya akan terus hidup apabila ia dihargai. 



Ada satu perasaan yang membuatkan saya rasa   舍不得离开那个地方。 Seronok! Persembahan pada pukul 11:30 pagi dan 4 petang. Sungguh, kalau datang ke sini lagi, saya akan ke sini semula. 


Kemudian, kami ke bandar Kuching semula, singgah membeli beberapa cenderamata dibeli sebagai tanda bahawa setiap perjalanan wajar membawa pulang sedikit kenangan.

Menjelang petang, kami menaiki Sarawak River Cruise. Dari atas kapal, bandar kelihatan berbeza. Sungai yang tenang memantulkan cahaya matahari senja, sementara bangunan-bangunan di sepanjang tebing mula diterangi lampu satu demi satu. Saat itu terasa begitu damai sehingga saya memilih untuk menyimpan telefon seketika dan menikmati pemandangan dengan mata sendiri.

Pukul 7 malam, kami turun cruise dan berjalan sekitar Waterfront, juga singgah ke Mira Cake House. Bau harum kek lapis yang baru dibakar membuatkan sukar untuk memilih hanya satu perisa. Banyak perisa menarik, sedap sedap.

Hari Ketiga — Membawa Pulang Rasa dan Kenangan

Hari terakhir sebelum pulang menjadi hari paling meriah.

Pagi bermula di Medan Niaga Satok dengan sarapan yang mengenyangkan sebelum misi membeli buah tangan bermula. Ikan terubuk, pes laksa, gula apong, beras Bario—semuanya seolah-olah membawa sedikit rasa bumi Kenyalang untuk dibawa pulang.


Perjalanan diteruskan ke Pasar Serikin. Deretan gerai yang panjang dipenuhi pelbagai barangan dari seberang; batik, kebaya, minyak angin dan bermacam-macam lagi. Antara barang yang saya beli: minyak angin Fresh Care, batik, sebentuk cincin, kebaya dan es jeruk! 

Sebelum mengakhiri hari, kami singgah mendapatkan Kek Lapis Warisan dan tidak lupa membeli kek mentega Mita yang sering menjadi sebutan ramai. Beg semakin penuh, tetapi hati terasa semakin berat kerana perjalanan ini hampir berakhir.

Hari Keempat — Pulang dengan Hati yang Penuh

Jam menunjukkan pukul 10 pagi ketika tiba masanya untuk mendaftar keluar. Dari Metrocity, perjalanan diteruskan ke lapangan terbang bagi penerbangan pulang pada jam 1.35 petang.

Melihat pesawat mula meninggalkan landasan, saya tersenyum sendirian.

Empat hari terasa terlalu singkat.

Namun mungkin itulah indahnya sebuah perjalanan. Kita tidak pernah benar-benar membawa pulang tempat yang kita lawati. Yang dibawa pulang hanyalah rasa, cerita dan kerinduan untuk kembali suatu hari nanti.

Bumi Kenyalang menghadiahkan saya lebih daripada sekadar destinasi pelancongan. Ia mengajar bahawa keindahan bukan hanya terletak pada bangunan, makanan atau pemandangan, tetapi pada setiap pengalaman yang membuatkan kita berhenti sejenak, menarik nafas, dan mensyukuri bahawa kita diberi peluang untuk melihat dunia yang begitu luas dan indah.

Sehingga bertemu lagi.



Kerana saya percaya, ada tempat yang kita lawati sekali... dan ada tempat yang akan sentiasa memanggil kita untuk kembali.

Comments

Popular posts from this blog

Kau Belajar dekat China?

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Temuduga IPG : Sejarah 2015