Berbaloikah Berkorban?



Dalam hidup kita, sering kali tak akan terpisah dengan situasi yang memaksa kita berkorban atau terkorban.
• Sukarelawan yang menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan di kawasan pedalaman kerana merasakan itulah tanggungjawab mereka serta banyak lagi contoh lain yang murni
Semakin kita memberikan bantuan, semakin tinggi sense of giving, merasakan bahawa kita perlu memberi sesuatu, semakin kita tunduk terhadap Tuhan.

Ya, dua situasi ini sentiasa terjadi, tanpa kita sedar atau tidak.

Kadang, di dalam poket kita ada RM5, niat di hati mahu disimpan saja untuk duit makan malam nanti. Tiba-tiba datang seorang pak cik meminta tolong kerana beliau tidak cukup duit untuk isi minyak motor. Sekiranya bagi, tiadalah makan malam. Sekiranya tidak, perut kenyang. Akhirnya, kita memilih untuk memberi RM5 itu kepada pak cik tersebut.Kadang, kita sudah membeli sebungkus kebab untuk dijadikan bekalan perjalanan di dalam bas malam selama 8 jam, namun ketika sampai di terminal bas didatangi seorang pengemis yang meminta makanan kerana lapar. Ikutkan perut sendiri, kita pun lapar tapi kita memilih untuk memberi kebab kepada pengemis tersebut.

Kadang, kita sudah merancang jadual hidup kita setiap hari namun jadual terganggu. Seharian kita sibuk, hanya punya waktu dua jam itu sahaja untuk belajar. Tiba-tiba, seorang kawan datang ke bilik minta diajar topik yang tidak difahami. Kita berada di dalam dilema, mahu menolong kawan atau belajar sendiri? Sebenarnya, rasa di hati lebih seronok belajar sendiri daripada mengajar kawan. Jika mengajar, kita yang rugi kerana sepatutnya kita boleh belajar bab baru dengan lebih banyak masa. Jika tidak, kita untung! Walau bagaimanapun, pada akhirnya kita memilih untuk mengajar kawan kita yang meminta pertolongan daripada kita.

---

3 situasi di atas nampak biasa. 

Biasa sangat tetapi impak selepasnya sangat besar dalam hidup kita!

Sekiranya perbuatan-perbuatan itu dilakukan dengan niat yang sungguh ikhlas, sungguh suci tiada terbitnya sebarang perasaan riak, hanya kerana Allah; MashaAllah, sangat hebat!

Menolong seorang pak cik dengan memberi RM5 sahaja, memberi kebab kepada pengemis ketika perut sendiri lapar, mengajar kawan yang datang ke bilik kita saat kita sudah tiada waktu lain - semua ini butuh pengorbanan.

Setiap kali datang orang meminta tolong kepada kita, pada waktu itu bukan pak cik, bukan pengemis, bukan rakan kita saja yang diuji dengan kesusahan tetapi pada waktu itu kita juga sedang diuji! 

Kita diuji dengan perasaan sendiri, sama ada mahu memberikan bantuan atau tidak? Kita diuji dengan nikmat yang kita ada ketika itu. Kita diuji dengan kekuatan yang kita ada, kita diuji dengan harta, kita diuji dengan makanan - sesungguhnya harta, makanan, waktu, segala nikmat itu bukanlah kita punya. Itu semua datangnya daripada Allah, yang memberikan kita nikmat, menguji kita pula dengan nikmat yang diberi.

Anggaplah segala yang kita berikan, korbankan; semuanya itu berbentuk sedekah. Walaupun dengan hanya RM5, walaupun dengan hanya kebab, walaupun dengan mengajar rakan kita - semua itu boleh menarik kita ke syurga.

Kita mesti mengajar diri kita sendiri untuk sentiasa memberi: bukan saja rajinkan memberi sumbangan duit, malah memberikan senyuman, berikan bantuan terhadap mak cik yang sedang bawa barang yang banyak, berikan kasih sayang terhadap kucing jalanan, berikan manfaat kepada manusia seluruh alam - ada yang suka menyertai program kesukarelawanan, ada yang suka menjadi fasilitator; semua ini butuh pengorbanan.

• Sebagaimana kita ingin membalas jasa ibu bapa kita kerana telah banyak berkorban untuk kita

• Seperti alumni yang sering membuat program di sekolah-sekolah atau di universiti kerana merasakan pelajar perlu tahu dan mendapat ilmu baru 

Kita seharusnya sedar bahawa kita ini tiada apa-apa. Kita ini hanya mendapat kasih sayang-Nya untuk bernafas, segalanya yang kita ada hanya sementara. Segala yang diberikan kepada kita, bukanlah untuk kita semata-mata. Dalam harta, makanan, tenaga, masa kita ada milik orang lain yang perlu kita penuhi hak mereka. Sia-sialah hidup tanpa memberi.

Dalam kala kita menghulurkan wang, menghabiskan tenaga, semua ini tidak mudah. Kita terpaksa mengharungi banyak cabaran tapi ketahuilah Allah memandang usaha murni itu. InshaAllah, kita sentiasa perlu memperbaharui niat-niat kita.

Jadi, berbaloikah berkorban? 

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al- Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar"(at-Taubah: 111)

InshaAllah, berbaloi! Hasilnya pasti kita akan merasainya di sana nanti.

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Cara Mati Setem di LHDN UTC

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online