Fasbir


Kerana satu perkara salah faham, kita terus meruntuhkan hubungan baik yang sudah terbina bertahun lamanya. Tatkala hati ini sedang membara, panas sehinggakan terbitlah segala kisah lama daripada mulut, yang jiwa amarah itu ditambah lagi dengan bisikan syaitan, yang semakin membuatkan kita bertambah marah, bertambah benci.

Banyak kali perkara ini terjadi, bahkan aku sendiri menghadapi saat itu. Saat di mana semuanya rasa tak betul, yang betul hanyalah aku saja, walhal setiap hari doa dititipkan untuk hati-hati ini terus tsabat dan bersama di dalam jalan yang kita pilih ini. Namun, aku sendiri gagal. Pernah gagal untuk menenangkan diri, langsung marah dan menuding segala silap lalu, menambah garam kepada masalah kini.

Benar, pabila manusia sedang marah, tak akan didengarnya cakap orang, marah saja! Marahlah! Lagi-lagi perempuan, bila marah sangat, sampai tahap rasa tumbuk dinding, nak menjerit, akhirnya menangis. Penat sangat dah otak, tak mampu nak bertenang.Baru-baru ni terjadi perkara yang aku rasa memang membuatkan otak panas, akhirnya aku kalah dengan amarah sendiri dan berbaring di dalam bilik selama sehari setengah, pejamkan mata; itulah yang mampu melegakan sekejap. 

Namun, sehebat mana api itu bernyala-nyala dalam diri, datang rahmat Allah yang aku fikir, itu adalah nikmat! Nikmat yang sangat besar, hebat dan mendalam perasaannya.Tatkala aku sendiri tak nampak progres, tak nampak cara, ada akhawat di sebelah yang menepuk bahu, memeluk aku, bercakap dengan aku, menenangkan aku, "Sabar, sabar. Awak kena berehat, awak boleh nak escape sekejap, kalau itu yang boleh buat awak bertenang." You know what I feel, the bond among us, aku tak tahu nak terangkan. Ukhuwah itu benar-benar hidup! Aku kalah dalam melawan amarah sendiri, namun sentiasa ada air untuk menenangkan diri.

Untuk satu-satu perkara yang terjadi, kena tabayyun; punca masalah itu sendiri yang perlu dikorek dan jelas agar tidak akan terjadi lagi perbalahan. Aku sendiri pabila dalam keadaan yang sangatlah tidak stabil, pernah ditegur akhawat yang menegur secara peribadi, bercakap dari hati ke hati, dengan syarat yang paling utama ialah berlapang dada. Sesi perbincangan dari mata ke mata, hati ke hati itu benar-benar menenangkan diri, terbang jauh terus segala perasaan marah, ketidakpuasan hati, rebel malah yang hadir ialah ketenangan dan solusi.

"Awak kena bertenang, kita sesama akhawat, tujuan akhir kita sama. Lepaskan jauh-jauh amarah, sebab kita sesama akhawat, kerelaan untuk awak dan kita semua berada dalam jalan ini mahal nilainya."

Kata-kata dari naqibah yang benar-benar menusuk hati, aku sendiri tertunduk malu dengan salah sendiri. Yang penting, perkara lepas mesti dijadikan sebagai pengajaran. Aku cuba, semua orang mencuba, "Kalaupun kita tahu orang lain salah, kadang apa yang kita buat tak semestinya betul sepenuhnya, mungkin ada part kita yang kita kena betulkan.

Setahun saja lagi masa untuk aku berbakti di bumi Beijing ini. Tiba-tiba malam ini terasa begitu syahdu. Kalau sebelum ini, ramai akhawat yang benar-benar menjadi tempat untuk aku berpaut sekali, sama-sama berjalan, sama-sama berganding bahu, sama-sama merasai perasaan yang bercampur-baur, sama-sama memegang tangan, sama-sama mendoakan. Akhirnya, tiba suatu masa seorang demi seorang akhawat pulang ke Malaysia dan yang tinggal terus berjuang. Perasaan itu benar-benar menyakitkan, perpisahan itu benar-benar menguatkan tatkala aku sendiri lemah. 

I miss us. 



Alhamdulillah.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Cara Mati Setem di LHDN UTC

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online