Yuyuantan Park: Beijing Spring 2017


Cherry blossoms (sakura)


   Bermula semester baru kali ini, semester kedua tahun pertama, aku merasakan masa begitu pantas berlalu. Manakan tidak, terasa baru sahaja mendarat di bumi Tembok Besar ini pada tahun 2015, pejam celik pejam celik sudah pun tahun 2017.


   Apa lainnya kali ini? 


   Jika mahu diulas tentang sesi pembelajaran; sudah tentu semakin meningkat tahapnya. Sebagai contoh, kalau dulu hanya bermula dengan sekadar belajar dua subjek, kini sudah menjangkau lima subjek dan lebih. Bukan hanya belajar sahaja, setiap minggu kami juga perlu rasa pengalaman mengajar rakan-rakan sekelas sebagai latihan untuk menjadi seorang guru kelak. Usai mengajar, setiap kekurangan kami akan diperbaiki, diperbetulkan serta ditambah baik oleh para pensyarah kami. Yang pasti, kami mengajar dalam bahasa Mandarin. 


   Selain daripada pembelajaran, kehidupan seharian di bumi Beijing juga semakin hari semakin nampak perbezaannya. Semakin banyak pembangunan di bumi Beijing, bangunan dirobohkan untuk membina bangunan yang lebih gah, jalan raya semakin sesak dengan kenderaan serta kini basikal dan kereta juga boleh disewa di mana-mana saja, pada bila-bila masa dengan hanya memerlukan scan QR Code menggunakan apps WeChat sahaja. Maju, kan?


   Untuk pengetahuan kita semua, rakyat di bandar Beijing ini sama banyak dengan rakyat Malaysia, cuma tak silap rakyat Beijing banyak sikit je, fuh sesak! Setiap kali cuti umum, cuti hujung minggu, mana-mana tempat di pelusuk Beijing ini pasti penuh dengan manusia. Penuh! Dari jauh nampak macam semut. Andai kata ramai pelancong asing datang ke China, rasanya macam tak nampak sangat mereka sebab rakyat China memang ramai!





   Sekarang sudah masuk musim bunga bagi tahun 2017. Yang uniknya, sepanjang bulan Mac, cuaca sungguh sejuk, sampaikan pernah sampai suhu negatif pada waktu malam dan pagi subuh. Sejuk sehingga mencengkam tulang-belulang, seakan rasa tidak mampu untuk bergerak ke bilik air untuk mengambil wudu', aicewah! Pada akhir bulan 3, ada lah dalam sehari dua hujan, terus beberapa hari selepas itu cuaca makin lama makin panas. Alhamdulillah, bunga pun mula berkembang dengan mekarnya. 




   Walau bagaimanapun, bunga-bunga yang berwarna merah, putih, kuning yang mekar itu dipayungi dengan langit yang kadang-kadang indah, kadang-kadang kelabu berjerebu. Beberapa hari yang lepas, saya serta dua orang rakan berkesempatan ke sebuah taman di Beijing yang diberi nama Yuyuantan Park. Taman ini bukanlah secara khususnya taman bunga kerana di sini hanya ada bunga cherry blossom (sakura) sahaja. Disebabkan sekarang bunga cherry blossom mekar mengembang indah di Yuyuantan Park, jadi semua orang mahu ke sana termasuklah kami bertiga. Sebenarnya kami tidak merancang pun untuk ke sana tetapi beberapa hari sebelum ini, semasa saya menaiki kuai che (grab car), pemandu kereta tersebut ada mengatakan sekarang bunga cherry blossom di Yuyuantan Park sudah banyak yang mekar berkembang. Jadi, beliau mencadangkan kami ke sana. Fuh, memang ramai orang, siap ada kaunter tiket yang dibuka untuk tiket tempahan pada hari yang akan datang. Harga tiket masuk untuk dewasa ialah 10 yuan tapi bagi pemegang kad pekerja, pelajar, anak kecil, orang tua akan mendapat potongan sebanyak 5 yuan.


   Untuk sampai ke Yuyuantan Park, kami hanya menaiki subway; turun di stesen Military Museum. Dekat stesen subway ini agak sedikit serabut, ditambah pula dengan orang yang ramai. Disebabkan tak nampak pun papan tanda untuk ke Yuyuantan Park, jadi kami bertanya kepada pekerja subway di situ; pintu keluar untuk ke Yuyuantan Park. Alhamdulillah, keluar saja, terus berjalan ke arah utara. Jalan terus, seberang satu jalan, sampai! 




   Yuyuantan Park hanya ada pokok jenis sakura sahaja. Jadi, minggu ini memang pokok sakura sahaja yang mekar indah, jadi semua orang pakat pi sini. Tak silap saya, di sini juga menjadi tempat tumpuan pelancong yang datang ke Beijing untuk melihat pokok sakura! Walau pun ada ramai pelancong yang datang, ramai lagi rakyat China di taman ini. Fuh! 


   Banyak lagi taman-taman di Beijing yang terdapat berbagai-bagai jenis pokok seperti pokok tulip, pokok mawar dan macam-macam lagi (saya pun tak lah ingat semua jenis pokok bunga). Taman di Beijing memang besar! Ada yang 1km jarak berjalannya. Harga tiket masuk pula murah, memang berbaloi tapi kena pergi ikut musimnya. Andai kata pada waktu itu bunga tidak berkembang lagi, maka terpaksalah tangguh ke tarikh yang lainnya. 




Comments

  1. cantiknya. harap one day nanti blh tengok real depan mata instead of tengok dlm gambar je huhuhu

    ReplyDelete

Post a Comment

Tak salah nak bagi pendapat :)

Popular posts from this blog

Buat Apa Selepas SPM?

Temuduga IPG : Sejarah 2015

Kau Belajar dekat China ?!?