Ada Apa di Lipis?
Ada Apa di Lipis?
Pejam celik, sudah setahun lebih rupanya saya berkhidmat sebagai seorang pendidik di daerah Lipis. Tak ku sangka, tempat pertama posting saya ialah sebuah sekolah menengah di sini. Tak pernah terjangkau dek fikiran saya, bahawa saya akan posting di sekolah menengah kebangsaan, kerana opsyen saya ialah Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan (BCSK), namun, inilah takdirnya.
Saya tidak mahu cerita tentang pengalaman menjadi guru di sini, cuma saya mahu kongsikan beberapa perkara menarik yang saya perhatikan di daerah Geopark ini.
1. Parkir Kenderaan di Lipis
Jika di Kuantan, ataupun daerah lain, saya hanya perlu akses di PahangGo, tetapi lain pula di Lipis. Saya serta anda yang mahu parkir di Lipis tanpa perlu membeli kupon, adalah melalui aplikasi Lipis EZ Park. Aplikasi ini khusus untuk membayar parkir, tidak seperti di PahangGo, bayaran bil dan lain-lain boleh diakses di situ. Jadi, hendak menyenangkan urusan secara atas talian, muat turun aplikasi tersebut atau walk-in beli kupon di mana-mana kedai.2. Bandar sederhana, kaya dengan alam semula jadi
Keistimewaan bandar Lipis ini adalah pada alam semula jadinya. Untuk yang suka hiking, boleh datang ke sini untuk hiking di beberapa kawasan seperti Gua Bama, Bukit Peninjau serta di Merapoh. Jika keluar pada waktu malam, rata-rata kedai tutup awal.Untuk merasai kemeriahan malam, boleh ke bandar lama Lipis pada Sabtu malam. Macam-macam aktiviti dilaksanakan seperti persembahan nyanyian, alat muzik, jualan makanan, pakaian dan bundle.
Lipis juga mempunyai Taman Negara Relau, yang terletak di Merapoh. Anda boleh berjalan di dalam hutan pada laluan besi yang sudah dibina megah. Syaratnya, perlu memakai kasut bertutup. Jika tidak, anda perlu memakai kasut getah yang disediakan.
3. Bangunan bersejarah
Terdapat banyak bangunan bersejarah di bumi Lipis ini, termasuklah sekolah yang saya berkhidmat sekarang. Bangunan yang dibina sejak zaman British, diguna pakai tentera Jepun masih berdiri teguh lagi. Bangunan-bangunan di bandar lama juga mempunyai seribu cerita yang anda boleh lawati.
4. Lipis Street Art
Jika anda ke Lipis dengan menaiki KTM, anda akan berhenti di stesennya yang terletak di bandar lama. Jadi, turun saja di situ, anda boleh bersiar-siar di bandar lama, mengambil gambar di sepanjang Street Art, menikmati ABC, pisang goreng panas, menghirup kopi di Sidang Kopi yang terletak berhadapan Sungai Jelai, serta beristirehat di Masjid Lama.
Pada pertama kali saya memandu ke sini, agak kaget dan mengecutkan perut kerana jalannya yang bagai ular kena palu, terutamanya jalan Jerantut-Lipis. Terkadang, sunyi menghentam jiwa, gagahkan juga kaki menekan minyak pulang ke kampung, pulang ke Kuantan; bagi melenyapkan lohong senyap. Setiap kenangan dan pengalaman ini benar-benar menjadikan saya pada hari ini.
Comments
Post a Comment
Ya, saya?