Ramadhan 3.0 di Beijing


   Ramadhan merupakan bulan yang sangat istimewa untuk umat Islam khususnya. Ramadhan juga turut memberikan peluang kepada saya dan pelajar Malaysia yang lain merasai suasana melaksanakan ibadah puasa di China. 

   Sekadar perkongsian bersama anda tentang perjalanan Ramadhan di bumi Beijing ini. Alhamdulillah, kali ini merupakan kali ketiga berpuasa di bumi Tembok Besar ini. Indah rasanya dapat melaksanakan ibadah puasa ini, seharusnya kita mesti bersyukur andai sampai ke saat ini Allah masih memberikan peluang kepada kita untuk berpuasa. 

   Hargai setiap peluang yang Allah bagi kerana sekecil-kecil kebaikan yang kita lakukan dipandang Allah jika disertakan dengan ikhlas. Berpuasa dengan sepenuh hati dan taqwa kepada Allah pasti diberi ganjaran syurga yang tidak terbayang indahnya.


   Pepatah Melayu ada menyebut, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Untuk merasai indahnya sesuatu perkara, mesti melalui susahnya dahulu. Contoh, nak makan kek coklat moist yang sedap, kena bersusah-susah dulu pergi membeli barangan untuk membuat kek, berperang di dapur, menunggu kek dibakar sempurna selama 40 minit, barulah siap! Eh, belum lagi memikirkan idea untuk menghias kek. Habis sahaja menghias kek, barulah berselera untuk makan. Wah! Sedapnya! Berbaloi penat kita selama beberapa jam untuk menghasilkan kek yang habis dimakan selama sepuluh minit, eh!

   Begitulah juga untuk kita merasai kemanisan dalam berpuasa. Sebelum ini seorang yang pemarah, belajar untuk bersabar. Sebelum ini jarang bersedekah, belajar untuk istiqomah bersedekah. Sebelum ini culas untuk membaca al-Quran, belajar membiasakan diri membaca al-Quran. Ada seorang kawan saya pernah berkata, “Tak peliklah kalau mahu berubah dalam bulan Ramadhan.” Harapnya selepas perginya Ramadhan pada tahun ini, kita akan terus-menerus melakukan amal kebaikan.


    Ada yang merasakan bahawa puasa ini sekadar tidak makan, tidak minum, sahur dan berbuka. Ada yang menganggap puasa ini sekadar untuk merasai penat dan tidur sepanjang hari, tidak terbuat perkara lain. Nah, mana mungkin kita dapat hasil yang ohsem andai dengan cara yang begitu saja kita memeriahkan madrasah Ramadhan kita, benar bukan? Jika di dunia ini kita bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pointer 4.0 flat, begitu jugalah ke syurga, kena bersungguh-sungguh untuk melangkah ke jannah.

   Panjang sekali mukadimahnya. InshaAllah, saya mulakan cerita saya. Apa cerita Ramadhan kali ini? 

SAHUR

   Kami bersahur seawal jam 2:30 pagi kerana waktu subuh sekarang paling awal bermula pada pukul 3:10 pagi. Bersahur seawal jam 2 pagi, ada yang cakap, "Eh memang tak boleh bayanglah makan pagi-pagi. Awalnya!" Ha, saya sendiri pun mula-mula bersahur awal pagi memang kadang-kadang tak boleh nak buka mata, sepet mata bersahur. Nak konsisten bangun awal, kena tidur awal lah. Susah nak bangun pukul 2 pagi kalau tidur pun 1:30 pagi. Tidur awal, bangun awal. 

   Lebih kurang pukul 4 pagi, matahari mula memancarkan sinarnya. Kami berpuasa selama 17 jam dek siang yang panjang. Memandangkan sekarang ialah musim panas, suhu pula semakin lama semakin tinggi, semakin lama semakin mencabar. Benar-benar menguji kesabaran dengan cuaca panas ketika berpuasa ini. Setakat hari ini suhu paling tinggi mencecah 37 darjah Celcius, fuh.

BERBUKA

   Waktu berbuka puasa makin lama, makin lambat. Paling lambat berbuka adalah pada pukul 7:45 malam. Semestinya mahu berbuka dengan masakan Malaysia. 



   Budaya ‘after’ masih diguna pakai di sini untuk giliran memasak. Ada yang memasak pada waktu pagi lagi kerana tidak mahu menunggu giliran memasak yang panjang, ada juga yang makan luar di mana-mana restoran. Aneka masakan Melayu dimasak penuh rasa, ada juga yang rajin membuat kuih-muih sebagai pencuci mulut.

   Masjid-masjid di sini juga turut menghidangkan juadah berbuka. Satu nikmat yang sukar dicari-cari pada bulan lain iaitu dapat bersama-sama dengan masyarakat muslim setempat berbuka puasa. Selain daripada itu, satu peluang yang berharga dapat bergaul dan beramah mesra dengan muslim lain yang berasal dari Algeria, Mali, Indonesia, Mesir, Jordan dan tempat-tempat lain.

   Kalau di Malaysia kita dapati terdapat banyak bazar di merata-rata tempat tetapi lain suasananya di Beijing. Di sini tiada bazar-bazar yang menawarkan ayam percik, ayam madu, apam balik, yong tau fu, coconut shake, air mangga piyor peh! MashaAllah, nikmat sekali ya rakyat Malaysia kerana diberikan nikmat makanan yang sedap-sedap. 

   Manakala di Beijing, tiada suasana bazar yang meriah itu. Inilah dugaan untuk kami yang duduk di negara orang ini, teringin nak makan itu, makan ini, kena masak sendiri untuk hilangkan rasa kempunan. 

TERAWIH

   Pelajar di Beijing Foreign Studies University (BFSU) mempunyai kelebihan dari segi tempat kerana bangunan asrama mempunyai bilik yang boleh dijadikan ruang solat. Bilik tersebut diberi nama Raudah.

Masjid Haidian
   Jadi, setiap malam solat terawih akan diadakan di bangunan antarabangsa nombor 6 (bangunan asrama pelajar Malaysia). Pelajar lelaki solat berjemaah di aras empat,manakala pelajar perempuan akan solat di Raudah. Oleh keranabilangan pelajar perempuan yang ramai, tikar-tikar turut dibentangkan sepanjang aras tiga untuk menampung jemaah perempuan yang lain. 

   Terdapat juga pelajar yang menunaikan solat terawih di masjid-masjid berhampiran. Masjid yang terdekat dengan kawasan kampus ialah Masjid Haidian. Jarak antara Masjid Haidian dengan kawasan kampus lebih kurang 2.7 km. Ada pelajar yang pergi ke masjid dengan menaiki motosikal elektrik manakala ada juga yang pergi menggunakan pengangkutan bas awam. 

Lebih kurang pukul 9:45 malam, solat sunat terawih selesai dijalankan. 


Alhamdulillah, hari ini genap 30 hari muslim di Beijing berpuasa bersempena Ramadhan pada tahun 2018 ini. Semoga Allah memberi kita peluang sekali lagi untuk merasai nikmat berpuasa pada tahun akan datang. 

   Semoga dengan berakhirnya Ramadhan kali ini, Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita, memberi lembaran baru serta kehidupan baru kepada kita seperti bayi yang baru lahir – suci daripada sebarang dosa.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Kau Belajar dekat China?