Menyambut Aidil Adha di Beijing


Selamat Hari Raya Aidil Adha




Alhamdulillah, bersyukur atas kasih sayang Allah kita dapat meraikan Aidil Adha untuk tahun 2018 ini bersamaan dengan 1439 H. Peluang dan kesempatan yang saya ada, dapatlah pulang ke kampung bersama ahli keluarga. Berjumpa dengan tok abah dan nenek, merasai suasana kampung dan menikmati buah-buahan yang sedang berbuah lebat sekarang! 

Pokok pulasan di depan rumah Tok Abah berbuah lebat, rambutan yang merah lagi menggiurkan, MashaAllah, nikmat! Oh ya, bukan buah yang saya nak ceritakan tapi sedikit cerita pada Aidil Adha yang sempat saya dan pelajar lain menyambut di bumi Tembok Besar Cina.

Dua tahun lepas, 2016 kami menyambut Aidil Adha di Beijing. Tak sempat nak menyambut di Malaysia. Satu pengalaman baru untuk kami semua. Pertama kali saya menyambut raya haji di Beijing, terasa istimewa sekali kerana pengalaman itu sungguh berharga.



2015, awal bulan 9 kami sampai di Beijing dan beberapa minggu selepas itu menyambut Aidil Adha pertama di Beijing. Pagi tu, dengan terpinga-pinga berlari ke perhentian bas untuk naik bas 特5 menuju Niujie (牛街) sebab untuk tunggu bas seterusnya terpaksa menunggu hampir 15 minit. Tak kisahlah waktu dengan berpakaian baju kurung, tudung terbang-terbang berlari untuk naik bas. Naik bas dari kampus kami ke Niujie mengambil masa kira-kira 45 minit. 

Dua tahun sempat menyambut hari raya Aidil Adha di Beijing, 2015 dan 2016. Ceritanya lebih kurang sama saja. Bangun pagi, berpakaian baju kurung, berjalan menuju perhentian bas, 45 minit kemudian, sampai di Niujie dan berjalan kaki menuju ke masjid.



Orang ramai mula pandang-pandang, sebab kita berpakaian baju kurung, lawa sikitlah, eceh perasan! Sebelum masuk ke dalam masjid, kami kena lalu pemeriksaan keselamatan dahulu. Dah macam dekat airport dah ha, kemudian terus ke tempat solat wanita.

Ruangan dalam selalunya penuh. Kalau pergi awal, maka dapatlah solat dalam ruangan bangunan masjid, kalau tidak, karpet-karpet terpaksa dihamparkan di bahagian luar ruangan solat wanita. 

Berkobar-kobar rasanya untuk melaksanakan solat sunat aidil adha buat pertama kalinya di tempat orang. Mula-mula sampai, memang tak fahamlah apa-apa yang diperkatakan oleh Imam, jadi sewaktu solat mulalah ha, ada tersilap sikit. Kita pun tak bertanya kepada muslim tempatan cara mereka melakukan solat sunat. 

Usai solat, keluar daripada perkarangan solat wanita, kami akan ke bahagian lapangan di sebelah ruangan solat untuk aktiviti korban. Maka, begitulah suasana aidil adha di sana, lebih kurang dengan di Malaysia cuma beanya tiada keluarga di sisi, cewah! 

Alhamdulillah, pengalaman berharga. Naik bas 45 minit pergi, 45 minit balik pun sudah cukup memenatkan, ditambah pula dengan bas yang penuh dengan orang ramai. Jadi, setakat ini saja memori Aidil Adha di Beijing. 

Oh ya, kalau dalam Mandarin, orang akan sebut 古尔邦节快乐 (Gǔ'ěrbāng jié kuàilè). 

Selamat Hari Raya Aidil Adha.




Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Kau Belajar dekat China?