Nak Buat Apa Selepas SPM?
Nak Buat Apa Selepas SPM?
Saya pernah berkongsi satu entri Buat Apa Selepas SPM. Ramai rakan-rakan serta anak-anak yang tercari-cari hala tuju selepas SPM. Sama juga seperti saya, tamat saja SPM 2014, saya juga tercari-cari, apakah yang perlu saya lakukan selepas SPM ini? Kali ini, saya menulis sebagai seorang guru. Akhirnya, setelah 9 tahun entri itu ditulis, saya akan menulis pula beberapa perkara yang anda boleh lakukan selepas SPM daripada POV seorang guru.
Pertama, rehat.
Rehatkan sebentar minda dan fizikal setelah anda berhempas pulas mengorbankan masa, tenaga dan usaha untuk menghadapi salah satu peperiksaan terbesar dalam hidup iaitu SPM. Tahniah saya ucapkan atas usaha anda yang telah berhempas pulas untuk menikmati perjalanan menuntut ilmu. Syabas anakanda! Rehat dahulu, sentiasa berdoa agar hati pemeriksa lembut ketika menanda, menanda dalam keaadaan yang tenang serta memohon agar Yang Maha Esa melapangkan dada atas segala apa jua keputusan yang Dia beri.
Kedua, tahu minat dan cita-cita anda.
Anda kena tahu anda suka buat apa? Anda suka aktiviti apa? Anda mahu jadi apa kelak? Apakah bidang yang ingin anda ceburi? At least, anda ada cita-cita. Tidak kisahlah anda mengatakan bahawa anda ingin menjadi seorang guru, ustazah, penulis, peniaga atau lain-lain, tetapi anda tahu apa yang ingin anda inginkan dalam hidup.
Hal ini demikian kerana, anda perlu memilih tempat belajar yang sesuai dengan minat dengan cita-cita anda. Anda perlu membuat pilihan untuk memilih sama ada ingin ke matrikulasi, tingkatan enam, asasi, diploma, politeknik dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, jika anda sudah tahu minat anda, anda boleh membuat keputusan sendiri untuk tindakan seterusnya.
Ketiga, mencari informasi.
Anda boleh mencari pelbagai informasi tentang tempat-tempat untuk sambung belajar di Google ni. Zaman sekarang lagilah, TikTok pun boleh jadi tempat penyebaran maklumat. Tinggal anda nak tapis maklumat yang betul sahaja.
Sesudah mencari maklumat, anda juga boleh bertanya kepada sesiapa yang boleh menjawab soalan-soalan anda. Sama ada kaunselor, seniors, guru, atau alumni universiti. Zaman saja dahulu terkenal dengan blogspot, FB group. Di situlah saya mendapatkan maklumat dan menapis tempat-tempat untuk saya pilih. Saya ada tulis tentang pencarian maklumat ini di entri ini Buat Apa Selepas SPM (klik pautan ini untuk baca).
Saya follow the flow saja.
Kerap kali saya mendengar daripada mulut anak-anak murid untuk follow the flow. Hanya mengikut telunjuk ibu bapa tanpa rasa ambil tahu, tidak ingin berusaha untuk mencari dan akhirnya mudah mengatakan, "Saya follow the flow sahaja." Sedangkan burung yang ingin mencari makan pun terbang ke sana sini berusaha keluar pagi petang untuk mencari rezeki, apatah lagi manusia yang Allah kurniakan akal, daya dan iman.
Yakinkah anda, anda boleh follow the flow?
Jika arus sungai itu penuh batuan kerikil, pasir kasar, kayu balak yang laju dibawa arus; adakah anda boleh mengharungi arus sungai yang penuh onak dan duri ini? Sudah pasti anda boleh jika ada daya, ilmu dan akhirnya kuasa Allah untuk membenarkan anda meneruskan hidup.
Jadi, senangkah untuk follow the flow?
Sudah tentu tidak, jika tiada ilmu. Dengan ilmulah, lorong yang gelap itu perlahan-lahan diterangi cahaya walau malap. Sekurangnya, ia akan melorongkan kita sehingga ke hujung lorong yang akhirnya, kita dapat menyaksikan hasil yang tidak dapat kita bayangkan.
Jadi, nak follow the flow kena ada usaha juga. Carilah orang berilmu untuk bertanya, menuntut ilmu dan saling berkongsi pendapat. Kumpul pengalaman, luaskan pengetahuan, barulah anda boleh lihat flow di dunia yang penuh dengan onak dan duri ini.
Semoga Allah memudahkan urusan anakanda semua.
Selamat menuntut ilmu.
Boleh baca semula post 2015 ini: Buat Apa Selepas SPM
Comments
Post a Comment
Ya, saya?