Temuduga SPP 2022 Secara Bersemuka


Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, dapat juga mencuri masa dan ruang untuk menulis sebuah pengalaman yang saya kira sangat berharga iaitu menghadiri Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Pada 31 Mei 2022, lebih kurang pukul 11:30 malam, rakan saya menelefon saya dan memberitahu SPP sudah membuat hebahan untuk panggilan temuduga pegawai pendidikan DG41. Saya terus klik pautan yang dikongsi, masukkan nombor IC dan akhirnya, dipanggil untuk temuduga! Alhamdulillah. Tarikh temuduga saya adalah pada 8 Jun 2022. Wah, seminggu saja lagi untuk menghadiri temuduga.

Dalam masa beberapa hari untuk persediaan temuduga, saya sangatlah berdebar, makan tak kenyang, tidur tak lena, dada terasa berat saja. Terlalu berdebar sehingga setiap langkah saya akan teringatkan hari-hari temuduga yang mendatang. 

Dalam masa beberapa hari itu juga saya membaca tips dan jenis soalan yang pernah disoal kepada calon-calon temuduga terdahulu. Dalam masa yang sama, saya menyediakan dokumen-dokumen yang diminta di dalam clear file holder, menyediakan salinan dan mencetak semua Rancangan Pengajian Harian sepanjang 10 minggu praktikum dahulu. Ketiga-tiga dokumen ini sangat penting, hendaklah dibawa ketika hari temuduga. 

Antara persediaan lain yang perlu disediakan awal adalah dengan mencari pakaian yang sopan, kasut bertutup dan bertumit, memakai tanda nama dan datang awal untuk mendaftar. Walaupun saya juga turut tersesat di dalam tempat parkir kereta di dalam Kompleks F itu alhamdulillah sempat mendaftar juga. Temuduga SPP tidak lagi di atas talian, sebaliknya dilakukan secara bersemuka dan berkumpulan.

Temuduga SPP bertempat di Kompleks F9, Putrajaya. Jadi, saya gerak sehari awal ke Bangi, bermalam di sana dan bersiap sedia untuk temuduga pada pukul 11 pagi. Setelah mendaftar, saya menunggu untuk dipanggil masuk ke bilik temuduga pada pukul 1 petang, lama juga menunggu tapi masa terasa laju saja berjalan. Keluar saja sesi sebelum dari bilik temuduga, daripada tidak berdebar terus jantung mula bergerak laju. Alhamdulillah, selepas hampir sejam bersoal jawab, berkongsi idea dan pandangan, akhirnya kami selesai temuduga. 

Persediaan awal temuduga:

  1. Menyediakan dokumen yang dinyatakan dalam senarai semak di dalam clear file holder.
  2. Setiap dokumen hendaklah disahkan dan dikepilkan bersama.
  3. Menyediakan Rancangan Pengajian Harian di dalam satu fail.
  4. Membaca pengetahuan am, pendidikan dan isu semasa.
  5. Pakaian yang sopan, kasut bertutup dan bertumit bagi perempuan dan tanda nama.
  6. Berlatih untuk menjawab soalan-soalan untuk membiasakan diri memberi pandangan, pendapat dan sebab ketika temuduga sekali gus dapat meningkatkan keyakinan diri.
Yang paling penting ketika sesi temuduga ialah bercakap dengan yakin, memberi isi dengan menyatakan isi, justifikasi dan peneguhan isi tersebut. Pastikan kita yakin dengan diri sendiri dan lakukan yang terbaik. InshaAllah. Elakkan mengambil mudah dan langsung tidak berusaha untuk memberikan yang terbaik ketika temuduga.

Antara soalan yang ditanya kepada kami ialah:
  1. Memperkenalkan diri, latar belakang pendidikan, pencapaian kokurikulum dll.
  2. Aktiviti kemenjadian murid.
  3. Sesi Bahasa Cina (bercakap dalam bahasa Cina): Flipped Classroom, Differentiated Pedagogy, berkaitan pengajaran dalam RPH dll.
  4. Soalan-soalan KBAT: guru berkualiti sepanjang zaman, cara menerapkan FPK dalam pengajaran, tema hari guru dll. 

Semoga Allah melapangkan dada, memudahkan dan melancarkan urusan kita untuk menghadapi temuduga, InshaAllah. Selamat maju jaya!

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Kau Belajar dekat China?