#NanaEuropeTrip: Sejuta Penghargaan, Seribu Pengajaran



Dalam hidup kita, akan ada banyak persoalan. Kenapa ini, kenapa itu? Kita akan banyak berfikir, banyak berbicara dengan hati.

Kenapa kami ke Eropah?

Mimpi. 

Sebuah mimpi yang mahu direalisasikan.

Sepanjang permusafiran, harus sentiasa perbetulkan, perbaiki, tambah nilai niat. Bumi Allah ini luas, inilah peluangnya untuk meneroka. Bukan untuk berseronok semata tapi untuk belajar. Belajar mengenali diri sendiri, belajar menghargai segala-galanya dan belajar untuk tunduk ke bumi. 

Sepanjang permusafiran, sentiasa berdoa di dalam hati, mendoakan yang baik-baik. Mengajar saya untuk sentiasa berdoa untuk semua, berdoa bukan saja tatkala kita susah, mengajar saya berdoa untuk sentiasa sedar bahawa saya ini hanyalah hamba. 

Sejauh mana kami berdua berjalan, hanya Dia sebaik-baik penjaga. Melihat sebentar pinjaman yang terbentang di hadapan mata, menjadi peringatan untuk sentiasa menjadi hamba yang sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan diri. Sejauh mana cabaran disahut, jika niat kerana Dia, lelah itu berbaloi. Inshaallah. 

Paling penting ialah niat.

Saya teringat kata-kata seorang murabbi saya, "Kita akan dapat apa yang kita cari."

Oh ya, pada cover belakang sekali buku Sedangkan Kiblat Pun Berubah terdapat coretan Buya Hamka yang benar-benar tertusuk ke dalam dada saya, baca elok-elok ya:

Buya Hamka pernah ditanya, "Di Tanah Haram itu memang ada pelacur ya pak?"

"Kenapa?"

"Saya ketemu sama pelacur di sana."

"Oh dan anehnya di Amerika Syarikat saya ketemu hamba-hamba Allah yang soleh." Lalu beliau menutup perbicaraan itu, "Seseorang itu akan ketemu dengan apa yang dicari."

Phew! Macam kena tembak!

Bila kita niat yang baik-baik, Inshaallah, kita akan dapat yang baik-baik. Pergilah jauh mana, belajarlah tinggi mana, bekerjalah jawatan apa pun; jikalau niat itu baik-baik kerana Allah, kita akan dapat apa yang kita idamkan, benar bukan?



TERIMA KASIH

Alhamdulillah, thumma alhamdulillah.

Bersyukur ke hadrat Ilahi, akhirnya dapat abadikan kenangan ke Eropah dengan penulisan ala-ala diari gitu. Phew, bukan mudah nak ingat details tapi kita cuba. Ribuan penghargaan kepada keluarga, ahli Anfal, kawan-kawan yang mendoakan kami.

Saya harap dengan penulisan ini sentiasa mengingatkan kita bahawa Allah itu Maha Esa. Dialah yang memiliki kerajaan langit dan bumi, Dialah Tuhan yang Maha Berkuasa. Tiada Tuhan selain Dia. 

Menelusuri tempat-tempat asing, itulah pengalaman yang terindah! Di tempat asing, hanya Allah tempat kita bergantung. Dalam perjalanan ini, Allah temukan dengan orang-orang yang pelbagai. 

Ada yang tersenyum melihat kita, ada yang memandang sebelah mata, ada juga yang mungkin tidak selesa dengan kita, itu semua pengalaman. 

Kita dapat belajar budaya di tempat asing. Di Eropah, kebanyakan tempat dinding-dinding rumah, bangunan-bangunan, di stesen kereta api bawah tanah mempunyai hasil kreatif grafiti. Kalau lalu berdua, rasa seram sejuk. Kita tak biasa di tempat orang. 

Di Salzburg, kami berdua hampir separuh hari diuji dengan kad bank tak boleh guna dan terpaksa mencari money changer, kemudian menaiki bas awam untuk ke AirBnB yang jauh sedikit dari tengah bandar. Ketika sedang menarik bagasi yang patah rodanya, dengan orang yang ramai di dalam bas, kami dimarahi seorang pak cik dalam bahasa mereka mungkin tidak selesa dengan kami tapi muka memainkan peranan, kita senyum saja. 

Kadang-kadang, kita tidak sedar kita teruji tapi ketika sedang menghadapi satu-satu situasi dengan tenang, keserabutan itu tidak menjadikan seluruh hari itu tiada makna! Hanya sedikit ujian untuk hari-hari yang mendatang.

Banyak perkara yang boleh kita pelajari dengan mengembara. Tidak kisahlah kita mengembara ke mana sekalipun, kita harus membuka mata hati untuk mencari dan mempelajari sesuatu.

Semoga tapak yang ditinggalkan bermanfaat.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Kau Belajar dekat China?