Manusia Umpama Logam


Seharian keluar, bermain dengan salji ialah tujuannya. Bukan selalu dapat merasa main salji. Salji-salji yang turun dari langit itu merupakan sesuatu yang sangat mengujakan! Sesuatu yang sangat menggembirakan, saya akan selalu tersenyum melihat salji-salji yang turun itu. 

"Manusia itu ibarat logam, baiknya mereka di waktu jahiliyyah, baik juga mereka di waktu Islam; jika mereka faham."

Mulanya, saya sendiri tidak faham langsung untuk mentafsir hadis ini. Setelah diberi penerangan, dibincangkan, even bilamana saya sendiri yang perlu memberi semula pengisian ini; baru rasa betul-betul dekat engan hati. Baru rasa inti hadis itu benar-benar sampai, mendalam maksudnya! Ayat cliche; setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. 


SETIAP MANUSIA PASTI ADA KELEBIHAN YANG TERSENDIRI. 

"Manusia itu ibarat logam"

Agak-agak apa maksudnya?

Logam punya banyak cirinya, punya banyak fungsinya. Begitu juga manusia. Dulunya, logam hanya dibuat untuk senjata-senjata perang, bertani dan perkara-perkara lain sebelum berlaku revolusi. 

Kini, logam yang berbagai-bagai itu digunakan dengan lebih meluas lagi; hanger, barang kemas, lampu, subway rail dll. Banyak bukan fungsinya? Logam juga digunakan dengan berterusan seiring dengan revolusi dunia. Sangat mengagumkan!

Logam bukan sekadar sedebuk logam itu, bukanlah juga sehalus-halus logam macam itu saja tapi untuk mendapatkan emas yang cantik, zink yang utuh; pastinya logam-logam itu akan melalui banyak proses untuk menjadi sesuatu yang kita perlukan pada zaman ini! Sesuatu yang diperlukan setiap hari; seperti kuprum. Betul? Kuprum; digunakan dengan meluas, lagi-lagi dalam kalangan pelajar. Dakwat pen, pensel; besar jasa kuprum itu. Bernilai sungguh ciptaan Allah ini. Walaupun harganya tidaklah semahal logam-logam yang lain tapi fungsinya ini digunakan oleh beribu-ribu manusia.

Sama juga seperti manusia. Setiap daripada kita mesti ada kelebihan yang tersendiri. Ada antara kita yang boleh melukis dengan sangat cantik, ada yang boleh bercakap di khalayak tanpa gugup, ada juga yang boleh memasak umpama chef.

Kelebihan setiap manusia itu berlainan. Tak semua orang mempunyai kelebihan yang sama. Mungkin kita sedar kita punya sesuatu yang boleh menyumbang terhadap diri sendiri, keluarga dan lain-lain tetapi tidak tergerak.

Jangan risau! Logam perlu melalui banyak proses untuk dijadikan bentuk yang paling ideal, manusia juga begitu. Kita juga pastinya perlu melalui banyak proses untuk mengilatkan lagi logam-logam kita. Kelebihan yang kita ada ini bukannya sedebuk sempurna, bukannya sekali gus sudah bagus. Oleh sebab itu kita akan melalui proses-proses yang pelbagai. Apa contoh proses itu? Dengan hanya berlatih? Dengan hanya mencari sahaja? 

Sebenarnya banyak proses yang kita lalui, yang menjadikan kita pada hari ini. Contohnya, kita didatangi dengan bermacam-macam ujian daripada Allah, kita mungkin akan berasa fed up, rasa mahu berputus asa atau termakan dengan godaan syaitan yang melengah-lengahkan tujuan asal kita serta macam-macam lagi tapi itulah namanya proses. Proses untuk mengilatkan lagi logam-logam kita. 

Proses atau dalam erti kata lain --- cabaran, rintangan, ujian yang Allah bagi kepada kita untuk menjadikan kita manusia, menjadikan kita hamba yang benar-benar melakukan sesuatu itu hanya kerana Allah. Bahkan, dengan nikmat sebiji komputer riba ini pun merupakan satu ujian yang Allah bagi kepada kita. Adakah kita akan melakukan perkara yang dekat dengan-Nya? Atau adakah kita teralpa dengan dunia? Semua ini proses, progres yang berlanjutan sampailah kita mati


BUKAN YANG BESAR SAJA, YANG MINI PUN SAMA

Jangan pula kita anggap KELEBIHAN itu adalah perkara-perkara yang besar sahaja. Suka mengemas pun satu kelebihan, tegas juga satu kelebihan, berlembut pun juga satu kelebihan. Kelebihan yang ada pada diri kita walaupun orang cakap sekadar suka membaca sahaja, tapi jika dengan hobi dia yang begitu, dia boleh menceritakan kepada rakan-rakannya tentang pengetahuan yang dibaca, dia boleh memberi ilmu secara tidak langsung kepada rakan-rakannya. Walaupun, dengan kelebihannya yang suka membaca sahaja; lagi-lagi kalau memang dia saja yang suka membaca dalam kalangan kita, itu sudah menjadikan dia mempunyai logam dengan membaca. Kelebihan bukanlah sesuatu yang kita perlu bangga-banggakan, bukanlah sesuatu yang kita boleh beritahu satu dunia tetapi ;

"Dengan kelebihan ini, bisakah aku membantu Islam? Dengan kelebihan ini, bisakah aku menjadi manusia yang lebih baik daripada semalam? Dengan kelebihan yang aku ada ini, bisakah aku mengajak orang lain turut ikut sama menyelusuri jalan-jalan ini? Dengan kelebihan ini, bisakah aku menjadi hamba yang sentiasa taat kepada Dia?"

Muhasabah. Kita bukanlah malaikat, kita ialah manusia. Dengan kelebihan yang kita ada ini, jika tidak digunakan dengan baik; ingat semula; apakah sebenarnya tujuan kita hidup di atas muka bumi ini? 

Di pengakhiran kehidupan nanti, apakah hasilnya? Apakah amal yang boleh kita bawa? Adakah kita hanya hidup sekadar untuk bersuka-ria, tanpa sedar sebenarnya dunia ini hanyalah satu persinggahan. Bukan sekadar tempat yang dipenuhi dugaan tetapi tempat untuk kita menuai hasil-hasil untuk kita bawa di sana kelak. 


SENTIASA MENAMBAH BAIK

Berbalik semula cerita logam tadi. Logam; adakah mudah untuk kita jumpa? Susah, bukan? Kena gali tanah, tak jumpa, gali lagi. Sampailah jumpa dan logam yang dijumpai bukan terus menghasilkan bentuk yang menarik, bukanlah terus sempurna --- disaluti tanah, comot, kotor.

Begitu jugalah kita. Kadang-kadang, kita tak sedar pun kelebihan kita, mungkin tak jumpa langsung! Carilah dan cubalah pupuk untuk sentiasa update kelebihan kita. InshaAllah. Ada orang dia pandai berniaga, ada orang yang pandai berkata-kata, ada juga orang yang bersuara merdu. Dengan logam-logam mereka ini, mereka boleh menarik orang lain untuk berbuat kebaikan, sekali gus perlahan-lahan menerapkan nilai-nilai Islam itu. 

Contoh; Saidina Umar al-Khattab, beliau dikenali dengan sikap tegas. Beliau dengan beraninya mengwar-warkan keislaman beliau di hadapan khalayak ramai. Jadi, dengan ketegasan dan keberanian beliau itu, telah menarik orang lain untuk memeluk Islam kerana mereka turut merasakan bahawa mereka selamat apabila mereka memeluk Islam setelah melihat Saidina Umar melakukan sebegitu. Nampak tak, logam Saidina Umar yang tegas itu dapat menarik orang lain untuk memeluk Islam? Dalam ketegasannya, punya hikmah punya toleransi, sekali gus membawa sinar untuk yang lain.

Contoh keduanya seperti Maher Zain --- suara merdu, iringan muzik yang sedap didengar, penampilan yang indah dipandang, turut merupakan satu kelebihan. Doa-doa, selawat yang dialunkan mudah untuk dihafal; sekali gus menjadi kebiasaan untuk kita mengalunkan kata-kata indah itu. Jadi, tidak mustahil untuk hidayah itu datang melalui cara ini. 

Saya pasti; jika kita duduk berfikir, bermuhasabah, bercakap dengan Tuhan; pasti akan tertanya; apakah amal yang kita akan bawa untuk seterusnya? Apakah sumbangan kita terhadap agama? Apakah sudah kita melaksanakan tanggungjawab terhadap diri sendiri? Apakah sudah kita turut menjaga keluarga kita; yang paling dekat sekali untuk turut sama-sama selusuri jalan indah ini? 

Jadi, faham itu penting. Pentingnya untuk kita gali ilmu dan belajar dengan hati yang lapang untuk kita serap ilmu itu sebanyak yang mungkin, kerana kita tidak tahu setakat mana kita masih bisa bernafas. Wallahualam. InshaAllah, perlahan-lahan kita mulakan langkah dan teruskan saja. Jangan sesekali berhenti; ingatlah, setiap kejatuhan yang kita alami itu sebahagian plot cerita untuk kita bangkitkan semangat juang kita dalam mengejar cinta Dia. 


Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Kau Belajar dekat China?