28 November 2025 - Banjir Kuala Lipis

Sepatutnya sebagai seorang guru bahasa, saya mungkin boleh buat tajuk penulisan yang lebih berbahasa dan bernyawa, tapi saya memilih untuk menulis tajuk seperti di kebiasaan artikel berita saja. Hal ini kerana ini merupakan kali pertama saya menghadapi banjir di Kuala Lipis sepanjang tiga tahun saya di sini. Perasaan yang menghentam saya sehari dua ini amat memenatkan tapi kita bertahan dan terus kuat terutamanya untuk anak-anak pelajar SPM serta amanah tugas warden yang diberikan. Jadi, seringkas itu tajuknya, buat saya yang terkejut!

Bermula Rabu dan Khamis lagi (26-27/11/2025), hujan sekejap turun sekejap berhenti, tetapi pada Khamis, hujan gerimis dan renyai turun tanpa henti. Hati saya cukup berdebar kerana hujan yang berlarutan serta laporan MET tentang taufan Senyar itu pun sudah memberikan petanda.

Khamis malam, kumpulan WhatsApp naik notifikasi tanpa henti. Jadi, PdPC pada Jumaat dibatalkan dan OPS PAYUNG perlu dilancarkan. Jumaat, 28/11/2025 kami seluruh warga sekolah, bergotong-royong mengangkut barang-barang ke sana ke mari, dalam keadaan hujan yang tidak henti-henti. Terima kasih kepada semua guru, anak-anak pelajar, pekerja pembersihan, pengawal keselamatan yang memang bertungkus-lumus, bersungguh-sungguh sangat! 

Dalam 10:30 pagi, air sudah naik di bahagian surau sekolah kami. Perlahan tapi menaik, itu pun sudah cukup menakutkan. Kerisauan berganda terhadap anak-anak SPM yang akhirnya, keputusan yang diambil adalah memindahkan mereka ke Asrama Pusat Kuala Lanar dan mereka akan mengambil peperiksaan SPM di SMK Kuala Lanar bermula 1 Disember nanti.

Dalam pada ingin menyusun atur pergerakan pelajar ini, saya sebenarnya cukup stres dengan arahan-arahan yang bertimpa yang membuatkan kita berdebar-debar dan cukup lemas dalam susunan tindakan. Saya tangguhkan dahulu urusan di sekolah, 1:15 pm saya pulang ke rumah untuk mengemas barang-barang dan pada 2:20 pm saya pun bergerak ke sekolah semula.

2:35 pm, dalam hujan yang semakin lebat, terus susun atur pergerakan ke Asrama Pusat Kuala Lanar bersama GPK 1, GPK HEM, Pengetua, Cikgu Fadzli bersama dua orang pemandu, En. Shahrul dan En. Man serta Cikgu Hisham yang menunggu di MRSM TGS. Pelajar pun sudah memasukkan barang ke dalam perut bas, sudah naik bas, maka kita terus lancar bergerak. Sebuah bas dan sebuah coaster bergerak membawa anak-anak asrama SPM ke asrama pusat.

4:30 pm, trip kedua yang membawa pelajar luar pula tiba. Pelajar luar yang kemungkinan jalannya terperangkap dek banjir juga perlu duduk di asrama pusat ini. Jadi, keseluruhan 104 orang pelajar yang mendaftar di asrama pusat ini semalam. Termasuklah dua orang anak pelajar Tingkatan 1 yang tidak dapat diambil penjaga dek terkepung air banjir. Fuh. 

Jadi, saya juga selaku warden perlu tidur juga di sini bersama-sama pelajar di sini. Pihak dewan makan juga amat mantap! Peralatan dewan makan diangkut semuanya ke dewan makan di sini; periuk, lima buah freezer besar, bekas-bekas pinggan cawan, segala macam dibawa, demi keselesaan makan untuk anak-anak. Terima kasih kakak abang dewan makan! 

6:30 pm, usai makan malam, para pelajar diberikan briefing oleh ketua warden, Ustaz Shahir. Alhamdulillah, proses pemindahan hari ini berjalan lancar walaupun ada kesukarannya. Alhamdulillah thummalhamdulillah. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan berkat kepada semua yang terlibat bencana ini, pastinya susunan cerita ini ada hikmah yang sudah tertulis. 

Dengan kejutan peristiwa hari ini, maka saya pun ketiduran selepas Isyak, 8:30 pm terus ke alam mimpi indah. Cukup 10 jam tidur saya hari ini, hewhew! Hari ini, 29/11/2025 Sabtu, dua orang pelajar tingkatan 1 itu pun sudah diambil ibu bapa dan dapat pulang ke rumah dengan seyuman. Lega hati teacher 🫰🏼  

Berkat doa mak abah juga, kakak pun tenang-tenang saja menguruskan para pelajar di sini. Baiklah, itu saja coretan dua hari menempuh hari-hari baharu di Asrama Pusat Kuala Lanar. Terima kasih juga Kak Lin, Kak Jijah, Kak Ros, Kak Zu yang bertanyakan khabarku & melawat adinda mu ini di sini ahaks. Semoga Allah mengurniakan kebaikan untuk kita semua.











Comments

Popular posts from this blog

Kau Belajar dekat China?

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Temuduga IPG : Sejarah 2015