Tip Menyimpan Duit Gaji dan Duit Raya untuk Beginner
Assalamualaikum WBT, Selamat Hari Raya 🌙
Sudah 3 Syawal 1444H, Alhamdulillah Allah beri kita peluang untuk bertemu dengan Ramadan & akhirnya menyambut kemenangan di bulan Syawal pula.
Terdetik pula saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang satu tip yang sangat ohsem tetapi tak ramai yang tahu dan ingin praktikkan iaitu Tip Menyimpan Duit Gaji dan Duit Raya untuk Beginner 😬
Hah, tip ini sebenarnya sudah sangat banyak dikongsikan oleh ahli-ahli kewangan di pelbagai platform media sosial tapi saya ingin juga berkongsi ringkasan dapatan daripada tip mereka semua. Dulu-dulu, saya tidak tahu di mana, bila, dengan siapa saya mahu belajar tip kewangan ini. Saya kira orang zaman sekarang sangat bertuah kerana dengan adanya media sosial yang senang diakses, kita mudah untuk belajar dan mendapatkan info tentang satu-satu perkara dengan cepat dan berguna.
Baiklah, tip ini saya kongsikan daripada perkongsian di YouTube Dr Adam Zubir (klik sini), yang menjadi asas kepada simpanan kita, mengikut kapasiti kita juga iaitu 50:30:20 atau 80:10:10.
Untuk tip ini, kita lihat peratus yang kita bahagikan adalah kepada 3 bahagian. Jadi, kita memerlukan 3 tempat untuk membahagikan setiap bahagian duit tersebut.
1. Bank Keperluan
2. Bank Simpanan
3. Bank Kemahuan
50:30:20
Contohnya, saya ambil tip simpanan 50:30:20. Peratus yang besar adalah keperluan/komitmen, kedua terbesar adalah kemahuan dan terkecil sekali adalah untuk simpanan.
Andai kata gaji kita ialah RM 2,500. Jadi, kita bahagikan 2,500 kepada 50:30:20.
Keperluan, 50% = 1,250
Kemahuan, 30% = 750
Simpanan, 20% = 500
50%
Katakanlah, gaji masuk dalam bank keperluan/komitmen. Masuk saja gaji, kita terus bahagikan siap-siap duit kepada setiap bank lain. Jadi, tidaklah kita akan terlebih guna bahagian lain.
30%
Selebihnya sebanyak RM750 sebulan adalah untuk kemahuan/kegunaan diri kita seperti makan minum, self-reward ke, nak beli / belanja keluarga, kawan dan lain-lain lah, haa kita boleh guna bahagian 30% ini.
20%
Bank simpanan yang kita letak sebanyak 30% (RM500), kita boleh pecahkan kepada beberapa tempat (jika kita mahu). Contohnya seperti Tabung Haji (TH), ASB, Akaun Emas atau mana-mana tempat yang kita mahu letak wang kita. Contoh, kita ambil nilai RM500 dan kita bahagikan pada 3 tempat di bawah:
1. TH: RM167
2. ASB: RM167
3. Emas: RM167
Jadi, bulan-bulan, kita menyimpan wang kita di 3 tempat. Cara begini pun boleh, tiada masalah. Mahu menyimpan di dalam satu tempat saja pun, tiada masalah.
Gaji & pendapatan setiap orang berbeza-beza. Jadi, untuk mendapatkan peratusan simpanan yang sesuai dengan pendapatan kita, kita cuba selarikan dengan komitmen bulanan kita. Contohnya, katakanlah komitmen sebulan kita:
1. Rumah sewa
2. Topup
3. Minyak
4. Servis kereta
5. Insurans kereta
6. Takaful
7. Wifi
8. Minyak kereta
9. Ibu bapa
10. Infak
Kira-kira dalam sebulan, komitmen kita mencecah RM 1,800 sebulan dengan pendapatan RM2,400.
Jadi, selebihnya hanya ada RM600. Sebolehnya cuba kita juga menyimpan walaupun sedikit.
Jadi, kita boleh fleksibelkan pembahagiaan baki RM600 daripada gaji tersebut. Mungkin bulan-bulan kita boleh menyimpan RM200, lebih RM400 untuk kemahuan/kegunaan harian. Kalau tidak cukup juga, sekurang-kurangnya bulan-bulan boleh menyimpan RM100, kalau tak cukup juga, sekurangnya perlu paksa diri untuk menyimpan RM50 sebulan, asalkan menyimpan.
Sebab itu, ada juga tip 80:10:10, atau beberapa peratus yang tampak fleksibel dan sesuai dengan komitmen serta kegunaan harian kita.
SIMPAN DUIT RAYA
Begitu juga dengan duit raya kita ataupun adik-adik kita, ataupun anak-anak kita. Kita boleh menyimpan duit anak-anak dalam Tabung Haji atau ASB atau SSPN, terpulang kepada kita, asalkan ada tempat simpanan. Kelak, apabila anak-anak semakin membesar, kita boleh mengajar anak-anak untuk menabung. Letakkan 1 tabung untuk anak-anak menyimpan, misi menyimpan RM1 sehari. Dalam masa setahun, anak-anak sudah dapat menyimpan minimum RM200 (jika kita tolak cuti sekolah dll). Pada hujung tahun, kita bawa anak-anak ke mana-mana bank atau ke TH, untuk anak-anak rasa sendiri pengalaman menyimpan wang di dalam tabungan mereka. Jika kita didik anak seawal umur 8 tahun, pada umur mereka 17 tahun, sekurang-kurangnya dalam tabungan mereka sudah ada lebih kurang RM1,800 hasil tabungan mereka sendiri.
YANG PALING PENTING: DISIPLIN
Untuk merealisasikan tip ini, perkara pertama yang kita perlukan adalah DISIPLIN. Disiplinkan diri untuk menyimpan setiap bulan, paksa diri untuk menyimpan walaupun sedikit. Jika anak-anak sudah dididik untuk menabung seawal usia kecil, kelak dewasa nanti tabiat itu akan membentuk disiplin diri yang kuat dalam menghadapi dunia dewasa yang kian mencabar.
Comments
Post a Comment
Ya, saya?