Mengajar Murid Genius di Kolej Genius Insan, USIM

My gucci gang! Awesome teachers, I learnt a lot from them.

Assalamualaikum WBT

Kalau sebelum ini pada Jun saya berpraktikum di Akademi Sains Pendang, pada September yang lalu saya berpraktikum di Kolej Genius Insan USIM (KGI). Alhamdulillah a'la kulli hal! Betapa beruntungnya saya dapat merasakan pengalaman yang mahal ini.

Selama seminggu kami berkampung di USIM, pada waktu yang sama SUKMA 2022 juga dilaksanakan. Inilah kali pertama saya ke USIM dan sungguh mengujakan! Teruja saya melihat Velodrom Nasional terletak betul-betul di hadapan pintu pagar USIM dan betapa terujanya saya masuk ke dalam USIM. 

Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam KGI, terus hati kecil saya berkata, "Bertuahnya pelajar di sini." Untuk pengetahuan anda, Genius Insan merupakan sebuah program yang ditubuh khas di Universiti Sains Islam Malaysia dengan tujuan untuk melahirkan bakal ilmuan pemikir Islam yang agung berteraskan al-Quran dan al-Sunnah dari awal usia. Fokus utama dalam program yang dirancangkan di bawah akademi ini adalah pembangunan modal insan di kalangan kanak-kanak berumur lapan (8) tahun yang berkebolehan tinggi atau pintar memahami, mentafsir, menghafaz dan mengaplikasi al-Quran dan al-Sunnah dalam kehidupan serta menghubungkaitkannya dengan sains, teknologi, matematik dan sebagainya serta mampu membangunkan tradisi keilmuan Islam dan mencetuskan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi melalui kesepaduan ilmu aqli dan naqli (Sumber: Kolej Genius Insan)

Allah telah memberikan mereka ini kelebihan yang sedikit berbeza berbanding dengan manusia normal yang lain. IQ mereka tinggi dan pemikiran mereka jauh lebih matang daripada usia sebenar. Jadi, mengajar mereka memerlukan teknik dan strategi yang berbeza serta mampu mencabar pemikiran mereka. Alangkah terkejutnya saya, dalam masa 10 minit pembelajaran, mereka mampu mengingat 25 karakter Cina yang sukar bagi orang biasa macam saya, mungkin mengambil masa yang sedikit lama berbanding mereka untuk mengingat bentuk, bunyi dan makna bagi setiap karakter. Bagi mereka, itu kacang saja!

Wah, saya agak terkedu ketika itu. Terus saya memaksa otak untuk berfikir dengan pantas, apakah aktiviti yang boleh mencabar dan memberi mereka pengalaman baru dalam pembelajaran Bahasa Cina? Saya cuba mempelbagaikan aktiviti dan melaksanakan aktiviti bersama-sama mereka. Antara strategi yang digunakan ialah Think-Pair-Share, Round Robin, Role Play dan Gallery Walk. 

Bersama pelajar Tahap 2

Penggunaan komputer riba dan tablet dibenarkan di sini, jadi para pelajar boleh membawa gajet mereka ke kelas dan rangkaian internet di sini juga sangat memuaskan. Setiap kelas dan makmal juga mempunyai penghawa dingin, boleh dikatakan suasana pembelajaran di sini sangat kondusif dan memberi keselesaan kepada pelajar Genius ini. Semoga suatu hari nanti, mereka dapat menjadi seorang pemikir Islam yang hebat dan berbakti kepada masyarakat dan negara dengan kudrat yang Allah berikan kepada mereka. Begitu juga kita, berbaktilah dengan kudrat yang kita ada untuk masyarakat dan negara agar suatu hari nanti, Malaysia mampu menjadi negara rahmah!


Sumber:

1) Kolej Genius Insan USIM

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Kau Belajar dekat China?