Angin Kencang Luruh di Beijing


Angin kencang musim luruh hampir saja menumbangkan saya yang sedang berjalan menuju ke bangunan fakulti. Mujur saja sempat membuka langkah besar, berhenti sebentar untuk menyeimbangkan semula badan dan meneruskan langkah. Waktu ini ada dua perkara yang datang kepada kita: 

- Angin kencang 

- Usaha

Angin --- kadang ia datang sewaktu kita kepanasan, bagaikan nikmat yang tiada tandingannya ketika itu; kadang ia datang sewaktu kita benar-benar sudah kesejukan, maka apa lagi perlunya angin? Kadang ia datang seolah-olah mahu menolak kita jatuh tergelincir daripada jalan yang sedang kita lalui, bagaikan ujian. 

Ujian yang kadang datang dalam keadaan yang kita perlukan, kadang tidak diperlukan namun tidak kita sedari semua ini. Selalunya kita benar-benar merasakan angin itu ialah ujian ketika kita sudah selesa berjalan. Datang sekejap angin ketika kita sedang seronok berjalan sudah kita merasakan ujian itu penghalang. Walhal, punya cara untuk menghadapinya.

Usaha --- tatkala angin kencang itu sedang menolak badan daripada berjalan laju ke depan, tatkala itu juga kita akan mengerahkan tenaga untuk teruskan berjalan. Angin kencang kelajuan yang sama, menolak kesemua tubuh yang sedang berjalan, tidak kira kecil atau besar, maka setiapnya perlu mengerahkan tenaga. Akhirnya, semua berjaya melawan arus angin. 

Dalam hidup, datangnya ujian bukan melemahkan, malah menguatkan. Itu perkara yang kita boleh belajar daripada angin kencang musim luruh ini. Fuh! Kemain panjang mukadimah. 


SOALAN 

Perkara sebenar yang ingin saya tulis adalah tentang sebuah soalan yang diajukan kepada saya, yang benar-benar membuatkan saya clueless. Fikir punya fikir, tak terjawab juga. 

"Apa perasaan akak sekarang? Final year, tak lama lagi akan graduate, apa harapan  akak?"

Phew, pertanyaan yang mendebarkan. Berpusing otak memikirkan jawapan. Untuk menjawab secara lisan susah untuk diuangkapkan. Pastinya berat untuk meninggalkan Beijing tanpa apa-apa. Tiada perkara yang saya kesalkan, sepertinya dengan gaya sebegini sudah memadai.

Rasanya terlalu sombong untuk saya katakan tiada perkara yang saya kesalkan, ada itu ada tapi inilah namanya kehidupan. Ada perkara yang kita perlukan, ada perkara yang melambatkan kita, ada perkara yang kita tidak perlukan, ada perkara yang kita perlu pandang serius, ada perkara yang sia-sia --- maka di situlah ia kehidupan, kita mahu kehidupan yang bagaimana? Kadang yang sudah terjadi, jadikan pengajaran dan teruskan kehidupan untuk elak perkara yang sama terjadi.


DIDIKAN KEHIDUPAN

5 tahun di Beijing, dakwah dan tarbiyyah di sini benar-benar memberi saya jiwa yang baru, ruh yang segar, banyak yang kita lalui bersama, terjatuh, tergelincir, terhantuk dan segala kesakitan jiwa yang terjadi, benar-benar memberikan impak dan membentuk seorang Najiha yang ada pada hari ini. 

Biar kadang penat otak memerah idea, berfikir, bermesyuarat tetapi yang penting saya tidak melakukannya secara berseorangan. Saya punya kawan-kawan, rakan seperjuangan yang menyokong dan berjalan seiring. Bahagian ini yang penting, kadang apa yang kita fikirkan tidak 100% betul, maka sangat penting untuk sentiasa bertanya pendapat atau bermesyuarat. Kadang, perasaan sendiri itu hanya sekadar perasaan, bercampur dengan bisikan syaitan, maka perlu untuk berguru dan bertanya. Dalam syura ada berkatnya. InshaAllah.

Kadang, saat kita sedang mengutarakan masalah, concerns perlu kita ingat, saat itu ramai yang sedang mendengar dan setiap daripada kita punya pendapat berbeza dan kita akan berbincang dengan lebih serius untuk mendapatkan jawapan akhir --- perlu kita ingat, kita meluahkan untuk mendapat penyelesaian bersama, bukan untuk memenangkan cara kita. Maka, ketika ini ramai yang mungkin kecewa dan menyalahkan rakan-rakan atau naqibah kerana tidak faham cara kita. Nah, sebenarnya kita mahu apa? Apa yang kita dapat sewaktu itu, itulah saat yang terbaik dalam hidup kita.

Obsesi untuk melihat dakwah itu berkembang benar-benar memerlukan usaha yang lagi gigih. Segala keterikatan terhadap dunia perlulah ditinggalkan kerana itulah melambatkan langkah seorang dai'e, kerana takut tidak terkejarkan dunia maka kita pula yang laju-laju meninggalkan dakwah. Seharusnya obsesi yang kuat akan memaksa kita mengerah tenaga untuk menyebarkan chenta ini.

Soalan yang diajukan itu jawapannya sudah ada tapi benar-benar membuatkan saya terfikir, untuk meninggalkan bumi Beijing ini perlunya usaha.


Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Kau Belajar dekat China?