Kemahiran yang Wajib Guru Pelajari #dasarpendidikandigital



Assalamualaikum WBT, Salam sejahtera!

Hari ini saya nak kongsikan beberapa kemahiran yang boleh dipelajari dan dikuasai guru-guru yang bakal posting serta guru-guru yang sudah berpengalaman juga. Kemahiran-kemahiran yang saya ingin kongsikan bukan saja memudahkan kerja, malah menjimatkan masa serta yang paling utama, sebagai nilai tambah dalam diri para guru yang dipilih oleh Allah SWT.

Baiklah, jadi jom kita cuba buat kemahiran-kemahiran di bawah ini:


1) Kemahiran Berucap

Saya merupakan seorang yang sangat darah gemuruh. Masih saya ingat ketika di Tingkatan 1, saya perlu berucap secara spontan dalam Bahasa Inggeris. Usai berucap hanya selama 5 minit, saya terus berasa sesak nafas, sakit perut dan akhirnya saya demam selama lebih 4 hari. Jadi, sedari itu saya sedar, saya bukanlah seorang yang boleh bercakap secara spontan atau memberikan ucapan spontan. 

Kini, saya sudah bergelar seorang guru. Tidak boleh lari daripada perlu bercakap di hadapan pelajar. Jadi, saya cuba menambah baik kemahiran berucap di khalayak dengan banyakkan membaca, banyakkan mendengar dan banyakkan melihat gaya pengucapan awam. Dalam erti kata lain, untuk berucap atau berkata-kata di hadapan khalayak, kita juga memerlukan latihan. Ketahuilah cikgu, jika kita kosong, kita tidak ubah seperti tin kosong. Untuk memberikan sesuatu, kita perlu ada sesuatu. 


2) Kemahiran Digital

Zaman kini tidak akan lari daripada teknologi digital. Janganlah kita dengan mudah menolak, mengeluh dan mengelat apabila perlu berhadapan dengan gerak kerja yang memerlukan kemahiran digital. Jangan sesekali pass kerja kita kepada guru yang baru saja mahu mengenali dunia kerja guru tetapi dilambakkan dengan kerja yang sepatutnya guru-guru lain lakukan.

Antara kemahiran yang guru-guru perlu belajar adalah membuat sijil, membuat poster di Canva, menggunakan Words, membuat PowerPoint dan menguasai Google Drive. Ada juga beberapa kemahiran lain yang guru-guru boleh kuasai. Kini, murid juga perlu mengisi NILAM dalam laman web AINS, juga memerlukan kemahiran komputer dan digital. Jika guru-guru pun tidak boleh untuk menguasai, maka mana mungkin anak pelajar dapat melaksanakannya? 


3) Kemahiran Memimpin

Kemahiran ini amat penting agar pelajar akan kenal dan faham hak dan batil. Mengapa saya berkata begini? Seorang guru yang tidak mampu menegur dan memperjuangkan amar ma'ruf mnahi mungkar, maka rugilah anak pelajar itu kerana tidak mempelajari sesuatu dalam kehidupannya jika tidak ditegur yang batil.

Saya berikan contoh:

Kelas bersepah, sampah merata-rata, kasut tidak disusun, pakaian berbau, buku tidak dibawa, kerja sekolah tidak dihantar, rambut tidak dipotong elok, kuku rambut diwarna, ikhtilat tidak dijaga, pakaian tidak mengikut saiz, duduk tidak bersopan. 

Jika guru tidak punya jiwa, maka semua yang saya sebut di atas, pasti tidak akan ditegur salahnya. Sekadar berlaku di depan mata, kita pulang ke bilik guru dan bercerita itu ini tentang pelajar tersebut tanpa kita tegur dahulu. Malah, kita hanya mengharapkan guru disiplin sahaja yang bertindak untuk kes-kes di atas. 

Ingat, cikgu. Perkara yang terjadi di hadapan mata kita; kita ajarkan adab, kita tunjukkan cara, kita perbaiki tabiat. Kita cuba amalkan beberapa perkara di bawah:

1. Sebelum memulakan kelas, ambil masa 5 minit untuk pelajar mengutip sampah di atas lantai kelas.

2. Sekiranya ternampak pelajar melakukan kesalahan, terus panggil pelajar dan menegur secara berhemah. Berikan pengajaran dan teguran agar pelajar tidak melakukan kesalahan tersebut di lain hari.

Percayalah cikgu-cikgu, pelajar-pelajar yang kita tegur ini tidak akan menjadi musuh pun kepada kita, malah hubungan kita sebagai guru dan pelajar akan lebih bermakna. Jika kita menormalisasikan kesalahan pelajar, maka kita terlihat tidak berjaya untuk membentuk persekitaran yang baik di sekolah. Untuk menggerakkan budaya yang baik di sekolah, memerlukan usaha yang jitu daripada semua warga sekolah!

Jadi, ayuh kita bentuk suasana dan budaya di sekolah dengan guru-guru yang positif, bekerjasama, maka, anak-anak pelajar dapat membentuk budaya yang baik dalam kehidupan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Kau Belajar dekat China?

Temuduga IPG : Sejarah 2015