PRE-VIVA
Siapa sangka, kita akan disekat pergerakan oleh kehadiran makhluk COVID-19. Jangankan nak terbang ke Beijing, inikan nak ke pasar membeli barang keperluan pun tak boleh. Memang rasa sedikit ralat, bayangan untuk mencampak topi graduasi pada majlis graduasi terus terkubur! Tidak ada peluang langsung untuk berbuat demikian.
Namun, atas semua kejadian ini, terselit hikmah. Kita semua sebagai seorang yang beriman kepada Allah, kita sememangnya percaya pasti ada perkara yang lebih baik dan layak untuk kita, hadir dalam bentuk yang tidak terbayangkan oleh kita.
Dalam banyak hikmah yang kita dapat dek pandemik ini, suka saya kongsikan satu perkara yang sangat kena dengan situasi kita, tidak kira bila atau tempat.
Seperti mana saya, belajar di Beijing, selesa dengan suasana di sana, kampus yang cantik, kawan-kawan sekeliling, bebas, selain belajar dan berbulatan gembira tiada perkara yang perlu difikirkan, aman-aman saja.
Namun, perubahan ini terlalu mendadak! Tiba-tiba saja perlu menghadapi semester ini di rumah masing-masing. Selama ini kita sudah selesa, bangun pagi, bersiap ke kelas, belajar, pulang, makan, buat kerja dan ulang rutin yang sama. Masuk saja semester ini, photostat buku teks, kena beli data, coverage kadang-kadang slow, bangun pagi - on laptop - on kamera, kadang adik ganggu, exam and assignment pun online, berebut space dengan adik-beradik etc. Jika pada zon selesa kita tidak diuji dengan tambahan kerja lain, namun kini selain daripada belajar, kita juga perlu buat kerja lain; memasak, mengemas rumah, kelahi dengan adik-beradik etc.
Semua di atas, di luar norma kebiasaan kita, di luar zon selesa saya di Beijing. Malah, untuk berbulatan gembira bersama usrati & mutarobbi pun sukar, kadang diuji dengan line internet, kadang diuji dengan ruang. Tidak seperti di Beijing, sebut saja mahu berbulatan gembira di sana, di sini, naik saja bas awam atau menunggang motor, terus sampai ke tempat tersebut. Namun, kali ini semuanya berbeza!
Kadang, saat kita di zon selesa, kita terlampau selesa sehinggakan alpa untuk bersyukur. Rasalah kita, pabila kita di Malaysia, lapangannya lain, ujiannya juga pasti berbeza. Maka, fasa adaptasi itu sememangnya fasa yang sangat mencabar dan percayalah, pertolongan Allah itu dekat.
Saat fasa adaptasi yang benar-benar menghentak jiwa, raikanlah perasaan kita yang sedang bersedih, sedang memberontak, rasa down tapi percayalah bahawa pertolongan Allah itu dekat dan Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Bersabarlah, kerana Allah menyukai orang yang bersabar dan nikmat yang terbesar dijanjikan kepada orang yang bergantung kepada Allah ialah syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. InshaAllah.
THESIS DEFENSE ONLINE?
Alhamdulillah, setelah sekian lama berperang dengan thesis, hampir 4 bulan bermujahadah, maka 3 Jun 2020, tarikh akhir untuk hantar thesis selepas menghadapi thesis defense.
Hari raya kedua, keluar sudah senarai nama untuk 论文答辩 (thesis defense), rasa perasaan waktu itu sangat tidak tenteram! Rasa macam tidak percaya! Terus berkecamuk perasaan. Orang kata makan tak kenyang, tidur tak nyenyak, mandi tak basah. Perasaan ini real!
Punya tidak tenang, sampaikanlah Khamis malam baru benar-benar buat persediaan untuk viva yang akan berlangsung keesokan harinya, Jumaat! Bayangkan, fikirkan dari hari Selasa, Rabu, Khamis baca thesis, rupanya disebabkan hati tidak tenang, otak memang terasa kosong. Malam itu, pukul 12:30 pagi, mesej Syazwa untuk baca perenggan pengenalan sehinggakan tidak boleh tidur sehinggal pukul 4:30 pagi. Masuk subuh, solat, tidur sekejap sehingga pukul 9 pagi. Bangun, siapkan diri, iron tudung dan ulang skrip pengenalan banyak kali. Fuh!
Tiba-tiba saja pukul 12:30 tengah hari, terus bersiap sedia untuk menghadapi viva. Terasa macam mimpi! Waktu itu mak sedang masak di dapur, perlahan-lahan mak memotong ayam. Ada pula bunyi bising-bising orang bertukang di luar rumah. Sediakan sebotol air 500 ml di sebelah meja, tenangkan diri.
Fuh. Memang berdebar!
Tak dapat nak dibayangkan debaran, keringat menitis laju di dahi. Waktu itu memang terasa mahu cepat-cepat habis. Dalam pukul 1:40 petang, nama dipanggil untuk masuk viva bersama tiga orang pensyarah. Hanya seorang saja yang saya kenal, pensyarah yang pernah mengajar subjek 写作论文, 杨旭老师。Fuh, waktu itu sangatlah tidak keruan. Internet membataskan perbualan kami, sekejap dengar sekejap tidak. Terasa jauh sekali suaranya, kepala didekatkan dengan skrin komputer pun tiada guna. Empat soalan ditanya, boleh tahan banyak masa diberikan untuk menyediakan jawapan. Sempat menelefon Dayana untuk bertanya pendapat, itupun selepas Dayana habis sesi vivanya.
Masuk kembali untuk menjawab soalan-soalan yang tricky itu. Namun, harus kekal tenang, selawat, ambil nafas yang betul dan cuba menjawab soalan pensyarah satu-persatu. Betul atau tidak, entah saya pun terasa seperti di awangan. Apa benar jawapan saya tadi?
Namun, sesi menjawab selama lebih kurang 10 minit itu pun berakhir, Alhamdulillah. Walaupun ada sedikit sisa debaran viva itu namun kita sudah berusaha dan melakukan yang terbaik. Waktu itu memang berserah kepada Allah, moga yang terbaik saja buat semua.
Hari Jumaat itulah terasa Jumaat yang paling tidak keruan dan mencabar tapi penuh dengan pengharapan kepada Dia. Rasanya, tidak mampu untuk saya menghadapi situasi itu tanpa pertolongan Allah. Untuk menghadapi viva, seorang diri di rumah, satu perkara yang saya rasakan benar-benar mencabar. Namun, aturan Allah pada hari itu sangat indah dan cantik. Jumaat itu juga Jumaat yang paling tenang selepas berperang. Namun, kesannya sakit kepala sehingga hari Ahad :')
SELEPAS VIVA
Laoshi akan bagi thesis untuk kita betulkan, dan betulkan lah mana-mana kesalahan yang ditanda. Kemudian, hantar pada alamat e-mel yang diberikan.
Selain daripada membetulkan thesis, kami juga perlu menterjemah thesis dari bahasa Cina kepada bahasa Melayu. Dalam masa yang sama, sibuk juga dengan urusan elaun dan urusan memunggah barangan di Beijing. Moga Allah melapangkan dada dan memudahkan urusan kita semua InshaAllah.
Semoga bermanfaat.
Assalamualaikum , nak tanya mcm mana u boleh dpt tawaran ke beijing ? Saya sekolah rendah dekat sekolah cina .
ReplyDeleteWaalaikumussalam wbt,
DeleteSaya mohon IPG (Sejarah) -- terpilih ke temuduga IPG -- dapat panggilan terbang ke Beijing.