Sayonara Jahiliah

Alhamdulillah, masih lagi bernafas, masih lagi dapat hidup hari ini, dapat bangkit daripada tidur dan hidup! Semalam punya mengantuk memang mengantuk betul, pukul 9 dah start mengantuk tapi gagahkan juga buat kerja, akhirnya pukul 10 memang dah terlelap. 

Seminggu dua ni rasa macam lost, so there was someone gave me a present; 39:2. Jazakillah :)

Program hari ini berpandukan satu tema iaitu Wida': Sayonara Jahiliah. Tak kenal maka tak cinta tapi kali ini kita kenal bukan untuk mencintai tapi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada jahiliah. Slot pertama yang dikendalikan oleh Kak Ainur, semestinya menjelaskan dengan lebih lanjut tentang jahiliah. 


Apakah itu jahiliah? 

Kalau belajar zaman sekolah, dalam buku teks Sejarah tingkatan 4 pada page sebelah kanan bahagian bawah, ada dalam satu perenggan diterangkan maksud jahiliah. Jahiliah; kata dasarnya ialah jahala yang bermaksud bodoh, tidak tahu apa-apa. Itu maksud dari segi bahasa. 

Okay, sekarang kita fikir, adakah orang Arab ketika itu sememangnya bodoh dan tidak tahu apa-apa? Mereka sudah pun pandai berjual-beli, sudah pandai bersyair, sudah pandai berdagang tapi kenapa dipanggil jahiliah? Haa, jawapan yang kami dapat ialah mereka sebenarnya jahil dalam agama. Oleh sebab itu, mereka minum arak, bunuh anak perempuan, berzina.

Dalam erti kata lain, jahiliah ini ialah apabila kita buat sesuatu perkara, kita rasa tak sedap hati, tak senang duduk. Rasa ada je tak kena. Itulah jahiliah, itulah dosa. Apa pula maksud sayonara jahiliah?

Sayonara bermaksud selamat tinggal. Selamat tinggal jahiliah. 

Sayonara - tidak akan pernah bertemu kembali. Jadi, seharusnya kita cuba untuk meninggalkan jahiliah selama-lamanya dan berazam tidak mahu berjumpa lagi dengannya.Sedar tak sedar, jahiliah melambatkan jalan tarbiyah. Islam pernah berada di puncak kerana umat ketika itu berpegang dengan al-Quran sepenuhnya. Semua perkara jahiliah ditinggalkan. 

Contohnya, kita mahu naik tangga yang tinggi, setinggi 10 tingkat bangunan. Andai kata kita bawa beg seberat 20 kg untuk naik ke atas, masa yang diambil untuk ke atas mungkin mengambil masa selama lima belas minit. Andai kata kalau kita tidak membawa apa-apa beban, sudah pasti masa untuk naik ke atas pun menjadi singkat. Begitu juga dengan jalan tarbiyah. Jika kita membawa beban jahiliah, sudah pasti matlamat yang kita nak capai akan mengambil masa yang lama. 

Zaman Mekah dahulu, sebelum lahirnya Nabi Muhammad SAW, orang Arab tiada bimbingan dalam agama. Mereka telah melakukan jahiliah-jahiliah yang tidak bermoral tetapi zaman kita sekarang, jahiliah semakin hebat dan semakin moden! 

Kalau dulu Arab Jahiliah membunuh bayi perempuan tapi zaman sekarang orang bukan setakat bunuh bayi perempuan, malahan bunuh orang sesuka hati. Kalau dulu mereka berzina lelaki perempuan tapi sekarang berbagai jenis (LGBT). Dulu mereka tak buat pun transgender  tapi sekarang ramai orang nak tukar jantina. Malahan, jahiliah yang ada pada zaman kita sekarang bertambah-tambah hebatnya! Banyak lagi jahiliah pada zaman dahulu yang tiada tetapi pada zaman ini, ada! 

Kalau kita boleh cakap Arab Jahiliah dahulunya tersangat jahil tetapi jahiliah pada zaman kini adakah tidak cukup jahil? Walau bagaimanapun, bukan ini yang kita nak banggakan tetapi kita nak perbetulkan dan hapuskan. 

Ada 3 golongan jahiliah moden:1. Kafir yang tidak tahu langsung tentang Islam2. Muslim yang sedia jahil tentang Islam 3. Muslim yang tahu tapi tak mahu mengamalkan Islam


Apa sebab terjadi jahiliah?

Sebab paling utama ialah tidak berpegang dengan Al-Quran. Andai memang Al-Quran diletakkan di tempat yang betul di dalam hati, InshaAllah kita akan lebih berwaspada. Mungkin selama ini kita hanya membaca Al-Quran tapi tidak faham dan tidak tahu tentang perkara yang mahu disampaikan kepada hati setiap daripada kita.

Seperti kisah Saidina Umar al-Khattab; beliau merupakan seorang khalifah yang sangat tegas. Suatu ketika dulu, beliau juga pernah menanam hidup-hidup anak perempuannya. Namun, setelah beliau mendengar alunan kalam Allah dan berpegang dengan wahyu daripada Allah, jahiliah yang pernah beliau buat terus ditinggalkan dan tidak pernah diulangi lagi.

Bagaimana kita nak tinggalkan jahiliah?ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيْمَانِأَنْ يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُهُ أحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سَوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إلاَّ لِلهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Dari Anas bin Malik, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Tiga sifat yang jika ada pada diri seseorang, ia akan meraih manisnya iman: Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai dari selain keduanya, ia mencintai seseorang, tidaklah mencintainya melainkan karena Allah, ia membenci untuk kembali kepada kekafiran, setelah Allah menyelamatkannya darinya ,sebagaimana ia benci apabila dilemparkan ke dalam api neraka."

Sekarang kita tengok point yang kita boleh dapat menerusi hadis daripada Rasulullah SAW ini. Untuk mendapatkan halawatul iman (kemanisan iman) ada tiga. Tak boleh terkurang satu, tak boleh pilih nak salah satu tapi kena ada tiga-tiga.

1. Mencintai Allah dan Rasul lebih daripada segalanya2. Mencintai seseorang semata-mata kerana Allah3. Benci kembali kepada kekufuran sebagaimana benci apabila dilemparkan ke dalam api neraka.

Bukan mudah kita mencapai tahap kemanisan iman, setiap daripada kita ada struggle sendiri; ujian setiap daripada kita berbeza. Sentiasalah kita berdoa agar Allah berikan kefahaman dalam agama-Nya, InshaAllah. 

Orang jatuh cinta, dia sentiasa teringatkan kekasih hati, senyum sorang-sorang, sentiasa berbalas mesej, selalu nak ada bersama. Kekasih hati itupun datangnya daripada Allah, rasa cinta itu pun daripada Allah. Jadi, selayaknya Allah yang mendapat cinta daripada kita dahulu. Fuh.

Mencintai seseorang semata-mata kerana Allah juga tak mudah. Apa maksudnya? Biarlah kita sayang seseorang kerana Allah, bersedia menerima buruk baiknya, apabila bersama akan memperingatkan kita tentang Allah, berbuat kebaikan. Sampaikan apabila kita sayang sangat-sangat, sama-sama menjadi baik, kita sentiasa berdoa agar dipertemukan lagi di syurga.

Akhir sekali, kita wajib untuk benci kembali kepada kekufuran sebagaimana benci apabila dilemparkan ke dalam api neraka. Kita semestinya takut untuk dilemparkan ke dalam api neraka. Sebagaimana kita tidak mahu dilemparkan ke dalam api neraka, begitulah kita memandang jahiliah dengan penuh rasa hina. 

Setiap daripada kita pernah melakukan jahiliah, masih belum terlambat untuk buang jahiliah dalam diri kita dan menyelusuri jalan tarbiyah untuk membentuk individu muslim yang baik. 


Adakah jahiliah perlu dibuang secara beransur-ansur ataupun secara sekali gus? 

Setiap orang mujahadahnya berlainan. 

Ada orang dia mampu tinggalkan jahiliah dia secara sekali gus. Contohnya, dia mampu delete semua list lagu yang lirik entah apa-apa dan tak pernah dengar dah lagu-lagu macam tu. 

Ada orang dia ambil keputusan untuk berhenti merokok dan tak pernah hisap dah lepas tu. Ada orang dia tidak pernah pakai tudung lalu ambil keputusan untuk terus pakai tudung labuh dan dia tidak pernah menanggalkan tudungnya selepas itu. Andai mampu, terserah.Andai rasa tidak mampu, buanglah secara beransur-ansur. 

Biarpun kebaikan yang kita buat itu kecil tapi kita mesti istiqamah. Sentiasa buat dan tambah lagi amalan-amalan kecil lain agar lama-lama bertambah banyak. Tak semua orang mampu untuk berubah sekali gus! 

Ibarat lalang; andai kita tebas lalang itu, lama-lama lalang akan tumbuh semula. Tapi andai kata kita buang lalang itu daripada akar, dia tidak akan tumbuh semula. 

Begitulah, ada setengah orang dia menganggap, dia mahu berubah sekali gus tapi selepas dua hari, dia tak mampu bertahan kerana cakap-cakap orang atau sebagainya. Jadi, sangat penting untuk kita kenal jahiliah dalam diri kita dan buang perkara yang melambatkan proses tarbiyah kita agar kita mampu buang jahiliah itu daripada akarnya. Biar perlahan, asalkan kita tinggalkan kekufuran. InshaAllah.

Comments

Popular posts from this blog

Cara Bayar Bil Telefon Rumah Online

Cara Bayar Bil Elektrik dan Bil Air Online: myTNB, PahangGo

Kau Belajar dekat China?