4 hari 3 malam di Ho Chi Minh
Assalamualaikum WBT
Phew, alhamdulillah, penghujung 2025 -- akhirnya dapat berkelana ke luar negara bersama mak dan abah. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan. Jadi, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak cerita sepanjang 4 hari 3 malam kami di Ho Chi Minh, Vietnam.
Ini kali pertama saya ikut trip besar, dalam 25 orang, private trup ke Ho Chi Minh bersama emak dan rakan-rakan guru & staf sekolahnya. Jadi, saya join sekali trip ini, alang-alang dapat berjalan dengan emak dan abah.
Hari Pertama - 26 Disember 2025
Kami bergerak malam 25/12 dari Kuantan ke KLIA2. Kami naik bas awal, sampai saja di Petronas, kami sempat tidur 3-4 jam di dalam bas. Kemudian, pukul 5 pagi kami ke KLIA2, makan sarapan awal pagi, dan solat subuh di sana.
6:30 pagi, kami berkumpul dan diberikan briefing sedikit oleh staf In Saff Travel. Oh ya, kami pergi di bawah In Saff Travel & Tours. Selepas itu, kami checked in, terus masuk ke boarding gate. Flight kami pukul 9 pagi, dan sampai di sana 11:00 pagi waktu Vietnam. Waktu Vietnam lewat sejam daripada waktu Malaysia, penerbangan lebih kurang dalam 1 jam 45 minit.
Sampai saja di lapangan terbang di sana, kami perlu beratur panjang untuk pemeriksaan kastam. Kemudian, disambut oleh Farouk dan Fendi, tour guide kami sepanjang di Ho Chi Minh. Mereka berdua sangat fasih berbahasa Melayu.
Kemudian, kami terus ke Lubuk Borong Linda Wholesale, baju kurung, kurta di situ cantik-cantik belaka. Boleh buat bayaran dalam RM juga. Peniaganya pun fasih berbahasa Melayu.
Seterusnya kami singgah sebentar di Post Office, yang bangunannya direka bentuk oleh arkitek yang sama membina Eiffel Tower. Selesai lawatan di situ, kami terus ke hotel, checked in di Song Anh 3 Hotel, yang terletak betul-betul di belakang Malaysian Street. Selepas itu, makan di Restoran Osmal, juga yang terletak do Malaysian Street. 4 hari 3 malam kami di sini, kami memang makan di restoran yang terletak di Malaysian Street ini saja. Oh ya, pakej kami ini termasuklah makan 3 kali sehari! Jadi, tak pening dah fikir nak makan apa, di mana.
Petang itu, kami berjalan-jalan ke Ben Thanh Market, yang terletak di hujung jalan Malaysian Street. Dekat saja dari hotel. Saja jalan-jalan jenguk barang dahulu. Saya terus beli key chain, beg kecil, kopi Vietnam; abah pula dapat satu topi, emak pula beli buah-buahan seperti buah jambu air, limau barli serta buah mata kucing. Emak ni, kalau berjalan, memang suka beli lain daripada yang lain.
Malamnya kami makan siakap 3 rasa bersama lauk-lauk lain. Sejujurnya, tekak saya boleh terima lah makanan Vietnam. Tidaklah terlalu cair, tawar, cuba tidak kick saja. Biasalah, kita duduk di tempat orang, tidak samalah seperti di rumah sendiri.
Hari Kedua - 27/12/2025
Pukul 7:30 pagi kami berjalan kaki ke Malaysian Street untuk bersarapan. Sarapan hari kedua ini kami menikmati dua jenis sarapan, iaitu Pho dan Bhanh Mi iaitu sejenis roti seperti baguette, cuma ia diolah dengan citarasa Vietnam. Saya perasan, roti dan mi in dijual di tepi-tepi jalan juga, rakyatnya hanya grab and go saja pada waktu pagi.
Usai sarapan, kami naik bas dan bergerak ke Mekong. Perjalanan kira-kira 1 jam 45 minit dari bandar Ho Chi Minh. Sampai di sana, kami perlu menaiki bot kira-kira 10 minit untuk ke Pulau Unicorn sana. Sampai di sana, terus sampai di kedai membuat coklat yang diperbuat dari santan. Usai membeli, kami berjalan-jalan di situ dan tibalah aktiviti kemuncak! Menaiki sampai di sungai paya bakau di Mekong.
Fuh, sejujurnya, saya gayat ya! Haha, saya ialah seorang yang sangat berasa fobia dengan air sungai dan lautan. Jadi, gagahkan juga naik sampan. Untuk naik sampan, ada dua orang pendayung yang akan mendayung sampan, menghilir sepanjang sungai sehingga ke jeti. Ada cerita di sebalik pendayung ini. Mereka adalah golongan susah, sehari maksimum 3 trip sahaja yang mereka boleh lakukan, upah mereka untuk 1 trip hanyalah sekitar RM3 sahaja. Jadi, sehari kurang lebih mereka hanya dapat RM9 sahaja. Jadi, bolehlah hulurkan sedikit tips untuk mereka sebelum kita naik ke atas jeti.
Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Masjid Mekong. Diceritakan, hanya ada sebuah keluarga muslim saja di situ, dan mereka sajalah yang duduk dan menjaga masjid itu. Jadi, kami makan tengah hari di situ dan menunaikan solat jamak qasar di situ.
Usai urusan di masjid, kami sepatutnya ke sebuah gudang kain dan pakaian untuk membeli-belah di situ. Namun, kami tidak bernasib baik hari itu kerana jalan jammed kerana terdapat kemalangan. Jadi, kami ke sebuah kedai lain, dan membeli belah sakan di situ. Hewhew. Cantik-cantik bajunya! Telekung pun lawa-lawa.
Selesai membeli-belah, kami pun pulang dan makan malam. Usai makan malam, kami pun membeli-belah di Malaysian Street. Mak borong 10 tudung bidang 60, beli baju-baju t-shirt. Hehe, shopping lagi.
Hari Ketiga - 28/12/2025
Hari ini kami mengimbau kenangan perang Vietnam-Amerika, maka kami ke Cu Chi Tunnel, yang perjalanannya mengambil masa 1 jam 45 minit juga ke sana dari Ho Chi Minh. Saya terpegun mendengar penerangan dari tour guide kami, Fendi. Begitu banyak kisah, air mata, keringat dan keterdesakan rakyat Vietnam dahulu untuk hanya hidup. Dalam Cu Chi ini juga pelawat boleh mencuba aktiviti tembakan. Memang meremang lah dengar bunyi tembakan bertubi-tubi.
Selesai di situ, kami pun pulang ke Ho Chi Minh dan menikmati makan tengah hari. Kemudian, kami ke War Museum. Meremang sangat melihatkan kekejaman yang dilakukan oleh penjajah. Fuh. Mungkin di mata cucu-cicit penjajah kini, mereka mungkin bangga kerana dapat menjajah tanah orang.
Kemudian, kami pulang ke hotel dan berehat. Usai solat, lebih kurang pukul 5:30 pm, saya, mak dan abah turun menuju ke deretan kedai kasut yang menjual kasut copy ori. Emak menyambar dua pasang kasut Skechers untuk abah, dan sepasang sandal Crocs untuk emak sendiri. Harganya memang tak masuk akal! Kasut bundle dekat pasar malam Malaysia pun lagi mahal! Usai shopping kasut, kami naik bilik semula untuk letak barang-barang. Kemudian, kami menikmati makan malam.
Usai makan malam, mak sambung lagi membeli belah di Malaysian Street. Mak beli lagi sebuah beg untuk diletakkan di kabin kerana bagasi kami sudah tidak muat, hehe. Mak juga turut membeli lagi dua pasang telekung, kekacang, dua pasang baju kurung dan empat helai kurta untuk diberikan kepada adik lelaki, abah, Tok Abah dan Pak Teh. Memang syok! Sejujurnya, memang berpatutan harga barangan di sini. Memang best!
Hari Keempat - 29/12/2025
Selesai sarapan, mak dan abah berjalan-jalan di Malaysian Street, membeli-belah untuk kali terakhir sudah. Hehe. Kemudian, kami checked out, dan bergerak ke Masjid Negeri Ho Chi Minh. Kami menunaikan solat kemudian terus ke lapangan terbang. Fuh, beratur panjang untuk imigresen. 7:30 pm waktu Malaysia, kami selamat mendarat di KLIA2. Alhamdulillah. Thanks Farouk & Fendi, sangat seronok sepanjang berada di Ho Chi Minh. Setiap kali mereka bercerita di dalam bas, saya tekun mendengar dan terus mencari-cari lagi cerita di Google. Thanks too to Hani dan Zulfah from Insaff Travel.
Begitulah kisah kami di sana. Seronok sangat saya menikmati momen indah di sana. Banyak benda yang saya perhati, perasan dan akan saya kenang-kenangkan. Saya bersyukur sangat dapat berjalan dengan mak & abah, meluangkan masa bersama mereka. Moments ini tak akan dapat diulangi, tapi ia akan sentiasa berada di dalam memori.













Comments
Post a Comment
Ya, saya?