Pengalaman Setahun Dua Guru Baharu
Baru setahun lapan bulan saya berkhidmat menjadi seorang guru, namun seolah-olah sudah 10 tahun bekerja! Ah, sudah! Awal-awal bulan berkhidmat, tidak ada hari-hari saya tidak ditemani air mata. Terlampau berat rasanya sehingga tidak mampu diungkapkan dengan ayat yang betul, pada akhirnya, respon saya hanyalah, "Saya okay saja."
Alhamdulillah, masih ada emak dan abah yang sentiasa meminjamkan telinga setiap kali saya pulang ke Kuantan untuk menceritakan segala rasa yang terbuku di dada. Juga, kepada sahabat saya yang sudi menjadi bahu untuk saya lepaskan rasa. Semua ini takdir Allah, tidak mungkin Dia membiarkan saya hidup tanpa saya mampu menghadapi ujian-Nya.
Pada akhirnya, kita hanya perlu bersangka baik dalam perihal takdir ini kerana bersama orang, masa, tempat dan lapangan yang kita hadapi sekarang -- adalah sesuatu yang pernah saya doakan juga, agar berada di tempat yang berkah dan diberikan hati yang tabah.
Menjadi seorang guru muda, lagi-lagi baru saja berada dalam perkhidmatan, saya cuba sedaya upaya untuk mengimbangi masa bersama pelajar, keluar dari sekolah dan aktiviti-aktiviti lain. Setiap kali ada peluang dan ruang untuk ke bengkel peningkatan profesionalisme seorang guru, tidak kisahlah dalam bidang atau pun di luar bidang; setakat sampai hari ini, saya tidak pernah menolak untuk pergi.
Saya percaya, segala yang kita dapat daripada satu-satu bengkel, latihan atau kursus, mesti ada ilmu baharu yang akan saya dapatkan! Emak juga selalu berpesan kepada saya, untuk sentiasa meluruskan niat untuk menuntut dan mengajar ilmu Allah ini, dan tidak merungut tak tentu hala.
Saya berasa seronok dan teruja kerana segala yang saya dapat daripada bengkel-bengkel yang saya pergi, sememangnya memberi satu pandangan baharu untuk saya dalam kaca mata pendidikan. Kebanyakan bengkel yang saya pergi, melibatkan bengkel Perpustakaan dan Media, AI, subjek Bahasa Inggeris, subjek Reka Bentuk dan Teknologi. Kesemua ini adalah bidang baharu untuk saya.
Jadi, segala liku cabaran untuk setahun dua pertama ini, pastinya mengajar saya dan rakan guru baharu yang berada dalam kasut yang sama; akan menjadikan kita kuat dan menyediakan kita untuk cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.
Saya percaya, saya pada hari ini dengan izin Allah. Dialah Sebaik-baik Penolong, semoga Allah sentiasa melorongkan jalan-jalan yang baik menuju-Nya untuk kita semua.
Comments
Post a Comment
Ya, saya?