Sunday, 16 July 2017

Pujuk Ku Pujuk


   Benar, nilai holistik semakin terhambat dek hedonisme yang datang menjajah pemikiran setiap manusia dinihari. Bukannya aku menyalahkan barat semata, bukannya aku menuding jari terhadap pihak sana yang menyebabkan kecelaruan antara kita, aku cuma mahu menemukan jalan keluar sahaja. Jalan keluar daripada permasalahan ini.
   Benar, diri ini juga tidak terkecuali. Segala titik jahiliah itu seakan-akan dianggap perkara biasa, tiada salahnya, tidak ada dosanya, tiada cacat celanya. Biarpun ada yang datang menegur, terus mulut mengatakan "itu tak salah", "ini memang dah biasa buat", "lantak aku lah." Datangnya yang menegur, hadirnya nasihat halus, semua tidak menjadi.
   Benar, tahapan kesabaran diri benar-benar teruji. Mahu menyaksikan hasil di hadapan mata dengan secepatnya, mahu cahaya itu terpancar terus dari langit untuk mengubah manusia tetapi tanpa sabar, ranaplah segala ketelusan jiwa murni yang awalnya punya niat baik untuk menyaksikan perubahan.
   Benar, senang berkata-kata daripada menzahirkan sesuatu. Senang benar, sehinggalah terkena kepada batang hidung sendiri, hilang segala kesabaran yang disemai, tiada lagi keindahan didikan yang tertanam. Mudah saja meleburkan segala pengorbanan yang dikorbankan sedari awal. Tiada lagi ungkapan memujuk diri untuk meneruskan perjuangan. Sudah hilang bayangan keindahan sabar kerana dirasakan tiada gunanya setakat ini. Setakat ini cuma.
   Benar, segala yang berlaku atas kehendak Tuhan Yang Maha Esa, kehendak-Nya lagi besar daripada kehendak makhluk-Nya. Perencanaannya lebih indah, lebih mulia, yang menjanjikan pengakhiran yang cantik nian. Kita menyangka semua yang kita lakukan selama ini sudah benar-benar hebat, sepertinya hasil yang gratis sudah menunggu di garisan akhir namun kita salah, kita lupa, kita alpa bahawa sesungguhnya perancangan Allah Yang Maha Hebat itu lebih agung dan utuh, yang tidak bisa diubah walau sedikitpun oleh makhluknya. Subhanallah.
   Berdepan dengan cabaran dasawarsa ini, benar-benar menguji segala ketahanan pancaindera kita. Jangan diungkit lelahnya, penatnya, air matanya, peritnya, amarahnya dan segala bermacam-macam perasaan yang dirasai dalam medan perjuangan ini. Memang perih, andai tiada sokongan pasti sudah rebah mencium tanah.
   Melihatkan betapa sukarnya keadaan ini, vital sekali untuk istiqamah dan teruskan perjuangan. Teruskanlah walaupun onaknya sungguh berliku, teruskanlah walau terpaksa meraung kesakitan. Usaha yang berterusan itu pasti, andai berasa peritnya, maka berehatlah sejenak. Jangan ditinggalkan terus, jangan ditolak jatuh. Berehatlah sebentar. Usai berehat, teruskanlah perjalanan.
   Benar, masa itu juga satu makhluk yang mengajar kita untuk sama-sama saling membantu menuju ke puncak gemilang. Bukan sekadar angan-angan kosong atau bayangan fantasi. Masa yang seiring dengan setiap tingkah kita sebenarnya menghadirkan pelbagai pengalaman. Masa yang berjalan seiring bersama-sama kita menyaksikan betapa banyaknya waktu yang dikorbankan untuk perkara yang salah. Masa itu jugalah setia bersama kita agar sama-sama melakukan perubahan. Masa tidak pernah meninggalkan kita, tidak pula berhenti  tetapi setia berjalan sehinggakan kita tidak sedar bahawa masa itu sungguh berharga. Dengan masa, kita dapat menyaksikan setiap plot cerita yang berbeda. Pastinya kita mahu yang baik-baik saja, justeru setiap perjalanan kita ini haruslah diisi dengan plot cerita yang punya nilainya. 
   Berbekalkan cara yang sesuai dengan setiap permasalahan atau ujian, terus-menerus membasahi lidah dengan doa, pengharapan terhadap Allah, maka tidak mustahil untuk berlakunya perubahan. Bukan sehari dua tampak hasilnya, mungkin bertahun lamanya. Pokoknya kesungguhan dan kebergantungan terhadap Dia bakal menghadirkan semangat juang yang tinggi dan membara.
   Pejamkan sebentar mata, bicara sama hati, perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat sedari awal langkah dakwahnya, bukan sehari dua mampu menghasilkan bilangan muslim yang ramai. Sedangkan sanak saudara Baginda juga ada yang tidak mahu melihat dan merasai kebaikan yang dibawanya itu. Perit sekali perjuangan Baginda dan para sahabat, perjuangan mereka yang ikhlas semata-mata kerana Allah dan agama ini memerlukan pengorbanan yang tidak terungkap nilainya, berpayah-payahan mereka berjuang, memastikan panji agama kudsi ini sentiasa terkibar megah. Kini lihatlah, kita sendiri melihat dengan kepala mata sendiri, keadaan umat kita sendiri.
   Ayuhlah syabab!