Monday, 30 November 2015

Saat Itu


Disangkakan sudah lengkap, serba-serbi sempurna,
Disangkakan setakat itu sahaja hidup ini,

Tetapi, tidak pernah pula disangkakan 
Bahawa sebenarnya, 
Asbab diri ini tercipta pun tidak punya jawapan padunya. 

Terdetik sesuatu di hati,
Entah apa-apa katanya,
Saban hari terus membisik,
Saban hari terus mencari,
Saban hari terus berfikir.

Mungkin; pernah mencari, tapi begitulah plot ceriteranya;
   Tatkala cuba melangkah jalan ini, terus dicantas lalu terduduk sendiri.
   Tatkala cuba menggali dalam lagi, terus berundur dek akal sendiri.
   Tatkala cuba bangkit daripada terjatuh, adakah masih punya rasa bahawa perjuangan ini perlu diteruskan lagi?

Lama-kelamaan, langkah itu semakin rapuh. 
Rapuh; hanya kerana beranggapan bahawa jalan ini sukar untuk bergerak sendiri.
Kebergantungan terhadap Tuhan masih lagi di tengah-tengah.
Tidak sesekali putus untuk meminta-minta daripada-Nya; diberikan kekuatan.
Lelah mungkin bergerak sendiri.

Langkah diatur, satu-persatu dengan harapan;
Cuba diolah dengan segala jenis pemikiran, cuba dihadam walau perlahan.
Sudah lama mencari,
Mungkin waktu-waktu sebelum itu, punya asbab tersendiri; mengapa ia tidak hadir.

Saat tiba waktu dengan izin-Nya, 
Dihadirkan hadiah-hadiah,
Yang datangnya membawa hikmah,
Yang hadir demi menggapai redha-Nya,
Yang nilainya tidak terkira,
Agar terus utuh dalamannya,

Agar semangat itu terus membara,
Agar sama-sama berjumpa di sana.
Tersedar, kebersamaan itu diperlukan jua.


Andai tersungkur,
Andai terluka,
Cuba diyakinkan hati,

Itu semua pelengkap ceritera,
Tanpa rasanya sakit, tawa, tangisan juga senyuman, 
Maka apa tujuaannya udara ditarik hembus?

Ceritera ini mahu dijadikan bukti,
Untuk disebarkan kepada yang lainnya,
Kerana semua patut merasakan;
Satu rasa yang tumbuh dengan sendirinya,
Dibaja dengan kesabaran,
Disirami dengan janji-Nya,
Dijaga untuk diberi,
Agar bisa menyelusuri jalan-jalan ini dengan hati.

Juga,
Turut sedar bahawa tapaknya perlu dibina semula,
Dibina semula selepas mengalami kejatuhan, 
Kerana setiap kejatuhan, pasti ada kebangkitan,
Biarpun kebangkitan kedua.

Perancangan-Nya sangat indah,
Diberi hadiah yang lainnya setiap jurang masa,
Harapnya diambil penuh hikmah,
Biarlah lelah mengorak langkah kerana di penghujungnya itu pasti terukir sebuah senyuman.
Semoga kita sentiasa di bawah jagaan-Nya, InshaAllah.


No comments:

Post a Comment

Tak salah nak bagi pendapat :)